Monday, 22 October 2012

Kelantan bincang beri imbuhan kepada ' The Red Warriors'

22 Oktober 2012
Kelantan
Pasukan Kelantan meraikan kejayaan bersama trofi Piala Malaysia setelah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
KOTA BAHRU - Kerajaan negeri Kelantan bercadang memberi imbuhan kepada barisan pemain 'The Red Warriors' kerana menjuarai Piala Malaysia musim ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood berkata pasukan itu yang telah mengharumkan nama negeri, wajar diberikan ganjaran.
"Kerajaan negeri akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk menentukan bentuk imbuhan yang akan diberikan kepada pemain berkenaan atas kejayaan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Abdul Fatah berkata kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada pasukan Kelantan atas kejayaan itu dan cadangan pemberian imbuhan itu ialah sebagai menghargai kesungguhan mereka dalam mencatat kejuaraan 'treble' musim ini.
Kelantan yang sebelum ini meraih gelaran juara Liga Super dan Piala FA, melengkapkan kejuaraan treble apabila menjulang Piala Malaysia 2012 dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2, dalam perlawanan sengit, Sabtu lepas.
"Saya turut memuji sikap pemain dan penyokong pasukan Kelantan yang menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dalam menjuarai kejohanan itu, khususnya pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang ATM," tambah beliau.- Bernama

Tuesday, 24 July 2012

Penonton bola sepak terkena mercun saman FAM, 3 lain

24 Julai 2012
FAM
FAM
KUALA LUMPUR - Seorang pereka grafik yang mengalami kecederaan mata kekal ekoran terkena mercun ketika menyaksikan perlawanan bola sepak pada Julai tahun lepas, hari ini memfailkan saman RM776,000 terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Ketua Polis Selangor dan dua lagi.

Ahmad Jazimin Mohd Jalaludin, 30, memfailkan writ saman itu menerusi Tetuan N.M Main & Associates di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Beliau menamakan FAM sebagai defendan pertama, Ketua Polis Selangor sebagai defendan kedua manakala Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga hingga keempat.

Menerusi penyata tuntutan beliau mendakwa mengalami kecederaan pada mata kanannya ketika menonton perlawanan bola sepak prakelayakan Piala Dunia 2014 melibatkan pasukan negara Malaysia dengan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai tahun lepas.

Ahmad Jazimin yang turut hadir di mahkamah, mendakwa beliau dan penonton lain memasuki stadium tanpa melalui apa-apa saringan atau pemeriksaan badan oleh penjaga pintu masuk ataupun anggota polis.
  
Beliau mendakwa ketika kejadian kira-kira 8.45 malam, satu mercun telah jatuh di tempat duduk penonton dan meletup hingga mengenai mata sebelah kanannya.

Ahmad Jazimin mendakwa pihak FAM gagal mematuhi piawaian dan standard penganjuran perlawanan bola sepak antarabangsa yang ditetapkan oleh pihak Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) sepanjang perlawanan tersebut.

Tambahnya defendan kedua dan ketiga gagal menempatkan anggota polis mencukupi bagi tujuan keselamatan di pintu masuk untuk mengekang percubaan membawa masuk bahan dan objek terlarang ke dalam stadium.

Ahmad Jazimin menutut ganti rugi am RM100,000, ganti rugi khas kehilangan upaya pendapatan RM576,000, ganti rugi has RM100,000, faedah, kos dan relif lain.

Sementara itu peguam Nik Mohamad Anuar Badiruddeen memberitahu pemberita writ saman akan diserah kepada defandan dalam tempoh 14 hari. - Bernama

Thursday, 17 May 2012

Apex tekad bawa pulang Piala FA

SITI ZUBAIDAH MAT ISA.
17 Mei 2012
Apex tekad bawa pulang Piala FA
Safee (kiri) dan Apex (dua,kanan) dipilih sebagai duta Mister Potato
KEKALAHAN 1-2 kepada Terengganu pada final Piala FA musim lalu pasti sukar diterima penjaga gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat lapor SITI ZUBAIDAH MAT ISA.

Namun, untuk edisi kali ini Khairul Fahmi atau lebih mesra dipanggil Apex bertekad untuk membawa pulang piala berkenaan ke Kota Bharu selepas The Red Warriors menempah slot ke perlawanan akhir menentang Sime Darby, Sabtu ini.

Bagaimanapun, Apex tetap waspada dan enggan memandang ringan keupayaan Sime Darby yang terkenal dengan gelaran The Giant Killer.

“Sime Darby bukan sebuah pasukan yang mudah dikalahkan. Lagi-lagi pada perlawanan akhir. Mereka pasti berikan tentangan habis-habisan kerana mana-mana pasukan yang bermain di perlawanan akhir pasti menampilkan corak permainan yang berbeza,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumumannya sebagai duta Mister Potato di Shah Alam, semalam.

Selain Apex, penyerang kelab Pelita Jaya FC, Safee Sali dan pemain tengah Harimau Muda A, Nazmi Faiz Mansor turut dilantik sebagai duta produk berkenaan.

“Saya berharap dengan pelantikan sebagai duta, prestasi saya akan lebih bagus. Pada masa sama, menjadi inspirasi kepada anak-anak muda agar tidak takut menjadikan bola sepak sebagai kerjaya tetap,” kata Apex.

Sementara itu, Pengurus Penajaan dan Aktivasi, Mamee Double Decker (M) Bhd, Sharszany Shahry Abu Shahriman berkata, pemilihan ketiga-tiga pemain kebangsaan itu bertepatan dengan matlamat mereka dalam usaha membangunkan sukan bola sepak negara bermula di peringkat akar umbi.

Wednesday, 4 April 2012

On9Tuition.com, cara mudah kuasai matematik

CONNIE S MONICAL
4 April 2012
tuition
Di atas kesedaran mengenai masalah pembelajaran matematik yang agak lemah di kalangan pelajar sekolah menengah, sebuah syarikat Bumiputera yang memegang status syarikat Multimedia Super koridor (MSC) dan Teknologi komunikasi dan Informasi (ICT), Aspati Sdn Bhd, menghasilkan sistem pembelajaran mudah bagi menguasai matematik.

Aspati Sdn Bhd menjalankan perniagaan dalam bidang multimedia sejak 14 tahun lalu dengan menghasilkan video korporat untuk syarikat tempatan.

Selain itu, Aspati Sdn Bhd menawarkan perkhidmatan tuisyen secara maya dengan konsep baru dan menjimatkan kos menerusi laman sesawang On9Tuition.com yang dilancarkan Februari lalu.

Syarikat itu diterajui Pengarah Urusan, Hissamuddin Mohd Amin yang pernah menerima Anugerah Usahawan ICT 2003 dari Persatuan Usahawan. Aspati Sdn Bhd yang sebelum ini beroperasi di Putra Height kini telah berpindah ke Kompleks 3C, Taman Bandar Sunway, tahun lalu.


‘Bawa guru balik ke rumah’

Pengarah Pemasarannya, Hasbullah@Zulkifli Shaari berkata, tujuan utama On9Tuition.com ditubuhkan bagi membantu pelajar yang lemah dan kurang berminat dalam mata pelajaran matematik untuk mendapatkan markah cemerlang.

“Teknik belajar matematik cara kacang (BMCK) menerapkan konsep ‘bawa guru balik ke rumah’ menggunakan teknik mudah difahami berbanding cara pembelajaran lain.

“Walaupun menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran, namun penerangan tenaga pengajar dilakukan dalam bahasa Malaysia bagi memudahkan pelajar lebih memahami,” katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya, di Petaling Jaya.

Hasbullah berkata, syarikat menggunakan khidmat tenaga pengajar yang mempunyai pengalaman selama 21 tahun dalam subjek matematik yang khusus mengajar tingkatan empat dan lima serta memegang Sarjana Muda Sains Pendidikan (Matematik) dari Universiti Malaya (UM).

Katanya, menerusi BMCK, pelajar boleh membuat latihan dan mengulang video sekerap mungkin mengikut kesesuaian pelajar itu sendiri.

BMCK bukan sahaja sesuai digunakan oleh pelajar, tetapi juga guru sekolah dan sesiapa sahaja yang ingin mempelajari atau berminat dengan matematik.

“BMCK berkesan dan menjimatkan kos perbelanjaan tuisyen ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke pusat tuisyen berbayar.

“Kesemua silibus dalam BMCK pula mengikut silibus yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran,” katanya.

 “Pada masa ini, kami hanya fokus pada subjek matematik untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan akan datang bakal menerbitkan mata pelajaran lain.

“Teknik pembelajaran matematik cara kacang ini didatangkan dalam dua versi iaitu dalam talian dan kit DVD,” katanya, yang merakam video tersebut di studio khas, di pejabatnya.

Menurutnya, Aspati lebih menumpukan kepada On9Tuition.com berbanding kit BMCK kerana kit lebih disasarkan kepada pelajar di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai rangkaian Internet.

Katanya, bagi pembelajaran secara talian, pelajar hanya perlu mendaftarkan diri sebelum diberi kebenaran mengakses penuh kepada video yang ditawarkan di laman sesawang dengan harga serendah RM60 bagi tempoh enam bulan.

Manakala, untuk kit DVD dijual dengan harga RM199 yang mengandungi lima set DVD dalam bentuk PDF, 170 video klip, yang mana setiap satu topik durasi penera­ngan mengambil masa lima minit dan jumlah keseluruhan 30 jam meliputi kesemua silibus tingkatan empat dan lima.


BMCK terbukti berkesan

Menurut Hasbullah, bagi menguji tahap keberkesanan BMCK kepada pelajar, Aspati Sdn Bhd telah menguji produk tersebut kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tualang, Temerloh, Pahang.

“Ujian tersebut terbukti meningkat sehingga 80 peratus penguasaan matematik selepas pelajar menggunakan produk BMCK dalam tempoh enam bulan.

“Rata-rata pelajar mendapat markah lebih baik berbanding ujian yang dilakukan sebelumnya,” katanya yang juga mempunyai lesen pengeluaran, penerbitan dan pencetakan dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan dikilangkan di Cheras.

Hasbullah berkata, seiring kecanggihan teknologi, BMCK secara talian juga boleh dipaparkan menerusi ipad dan Android ketika pelajar ingin mengulang kaji pelajaran, sekali gus memudahkan daya akses pelajar.


Perkenal pelajaran baru

Sejak pelancaran bulan lalu, secara purata, Aspati Sdn Bhd telah berjaya menjual 2,000 unit kit BMCK dan On9Tuition.com.

“Pada Mei atau Jun nanti, kami akan mengeluarkan BMCK khas bagi Peperiksaan Menengah rendah (PMR).

“Selain itu, kami dalam perancangan mengeluarkan mata pelajaran lain seperti matematik tambahan dan bahasa Inggeris,” katanya.

Menurutnya, bagi mempelbagaikan produk, Aspati Sdn Bhd berhasrat memperkenalkan lebih banyak lagi produk berasaskan pendidikan pada masa akan datang.

Hasbullah berkata, Aspati Sdn Bhd juga mengalu-alukan mana-mana individu yang berminat menjadi pengedar produk di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak untuk menghubungi syarikatnya.

Selain BMCK matematik, Aspati Sdn Bhd juga menyediakan beberapa video pembelajaran seperti belajar bahasa Arab, foto dan video, ICT serta tips perniagaan secara talian di On9Tuition.com serendah RM30 bagi tempoh enam bulan dan RM50 bagi 12 bulan.

Saturday, 31 March 2012

Keputusan Liga Super

Wartawan Sinar Harian
31 Mac 2012
BERIKUT keputusan perlawanan bola sepak Liga Super yang berlangsung malam ini:
  
    Terengganu        0     Johor FC         0
  
    Lions XII         2     T-Team           1
  
    Sabah             1     Selangor         1
  
    PKNS Selangor     1     Sarawak          4
  
    Kelantan          5     Felda United     1   

Penyokong Red Warriors bantah langkah FAM

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
31 Mac 2012
Penyokong Red Warriors bantah langkah FAM
KOTA BHARU - Episod kemarahan penyokong The Red Warriors terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semakin meningkat, apabila lebih 500 penyokong mereka mengadakan perhimpunan secara aman di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, petang ini.

Perhimpunan tersebut sebagai membantah tindakan badan induk bola sepak kebangsaan itu, yang dilaporkan bakal menggantung Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa ekoran kritikan beliau terhadap prestasi skuad kebangsaan baru-baru ini.

Annuar juga Timbalan Presiden FAM.

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu, Mohd Zainy Mohd Zain menyifatkan terdapat 'tangan-tangan ghaib' yang mahu menyingkirkan Annuar daripada terus memegang jawatan dalam badan induk bola sepak kebangsaan itu.

"Lebih menyulitkan keadaan apabila Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah) sendiri bertitah dengan mengatakan kesalahan yang dilakukan oleh Annuar itu amat besar.
"Tindakan ini dilihat mendahului keputusan jawatankuasa disiplin yang hanya akan bersidang pada Rabu ini," katanya.

Nasib Annuar hanya diketahui apabila Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan oleh Datuk Taufik Abdul Razak bersidang Rabu ini bagi mendengar pertuduhan yang dikemukakan ke atas beliau.

Annuar sebelum ini berkata beliau akan menerima apa saja keputusan yang bakal dibuat oleh FAM.

Pas akan terus guna kempen 'undi, syurga'

MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
30 Mac 2012
Nik Aziz Nik Mat
KOTA BHARU - Pas tetap dengan pendiriannya meneruskan kempen menegakkan syiar Islam dengan menekankan soal syurga apabila seseorang itu melahirkan sokongan kepada parti itu semasa pilihan raya, kata Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Berang dengan dakwaan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Nik Aziz berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu mempelajari agama terdahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Tiap-tiap orang yang bercakap soal Islam dia akan sebut soal syurga dan neraka, dia (Datuk Abd Rahman) kena ingat, bercakap ini ada soal pahala dan dosa, jangan cakap sembarangan,” kata beliau ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di Dataran Ilmu pagi ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Abd Rahman ketika Wacana Sinar Harian ke-12 kelmarin, yang mendakwa Pas melakukan rasuah politik paling tinggi dengan menjanjikan syurga kepada pengundi.
Abdul Rahman berkata, pembangkang menuduh BN rasuah, namun mereka sendiri terlupa turut melakukan perkara sama pada setiap pilihan raya.
Nik Aziz berkata, Nabi Muhammad SAW sebagai contoh pemimpin yang sentiasa mengingatkan umatnya mengenai hal dosa dan pahala yang membawa manusia itu ke syurga atau neraka.
Dalam pada itu, Nik Aziz melahirkan rasa gembira dengan tindakan Kerajaan Pusat yang membantu dalam membangunkan Pelabuhan Tok Bali di Pasir Puteh yang dilancarkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V semalam.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau meminta projek itu dibangunkan sejak pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, namun bekas Perdana Menteri itu memberikan pelbagai alasan tidak munasabah.
Melalui projek itu katanya, beliau mengharapkan Kelantan terkenal di peringkat antarabangsa dengan menjadi persinggahan kapal-kapal dagang dari negara-negara Timur.
“Insya-Allah selepas ini kita akan mendapat persinggahan kapal-kapal dari negara Arab dan negara jiran Asia seperti China dan Kemboja.
“Kita bukan sahaja nak eksport barang kita sahaja, tetapi kita nak eksport perangai sekali, jangan menipu, berbohong dan caj keting, insya-Allah, ia jadi buah mulut, kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.

Peminat: FAM harus terbuka terima kritikan

NORASHIKIN LEMAN & NOOR HAFIZA ABDULLAH
30 Mac 2012
FAM
SHAH ALAM - Isu Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, yang bakal menghadap Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu, nyata mendapat sokongan moral peminat-peminatnya.
Ini berikutan hasil tinjauan Sinar Harian Online melalui facebook hari ini, rata-rata penyokong bola sepak bersetuju dengan kenyataan Annuar mengenai prestasi skuad Kebangsaan, yang dilihat semakin terumbang-ambing, terutamanya dalam misi mempertahankan Piala Suzuki AFF tahun lalu.
Peminat bola sepak merasakan kenyataan Annuar itu hanya satu kritikan membina di mana perubahan harus dilakukan dalam arena bola sepak negara, terutamantya dalam pengurusan badan induk itu sendiri.
Seorang peminat yang bernama Rosdan Shafein menganggap sifat kurang bijak hanya akan memakan diri dan merugikan bola sepak negara secara keseluruhannya.
Seorang lagi peminatnya yang bernama, Azhar Hamzah berkata, jika kritikan akan membawa kebaikan kepada industri bola sepak negara, maka pihak yang dikritik harus menerima kritikan dengan positif.
"Sebarang kritikan dan pendapat mestilah lahir dari hasil pemikiran yang profesional dan bukanya emosi yang keterlaluan," katanya.
Annuar sudah bersedia untuk menerima apa sahaja keputusan yang akan diputuskn oleh FAM nanti.
Bagaimanapun mereka berharap diberikan keadilan secara saksama.
Beliau juga tidak mahu menjangkakan bentuk hukuman yang bakal dikenakan terhadapnya kerana ingin mengelakkan persepsi lain dan akan menghormati apa sahaja keputusan yang dikeluarkan nanti.
Semalam, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah bertitah, Annuar telah melakukan satu kesalahan besar dan akan berdepan dengan Jawatankuasa Tatatertib pada 4 April depan untuk mengetahui keputusan kesnya itu.
Dalam pada itu, baginda turut bertitah, tindakan Annuar itu merupakan sesuatu langkah yang tidak wajar dan akhirnya memakan diri sendiri kerana  seharusnya beliau lebih mengetahui peraturan itu semasa mesyuarat Exco baru-baru ini, yang telah diberitahu oleh Tengku Abdullah supaya jangan lantang memberi keterangan kepada media.
Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bakal berdepan dua pertuduhan iaitu melanggar Artikel 88 di bawah Perlembagaan FAM di mana memberi kenyataan media tanpa kebenaran Presiden dan Setiausaha Agung serta memberi kenyataan bercanggah serta mempertikai keputusan Eksekutif FAM.

Laman web FAM digodam susulan isu Annuar

NORASHIKIN LEMAN
30 Mac 2012
fam godam
fam godam
SHAH ALAM - Laman web Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) digodam hari ini, dipercayai tengah hari tadi - sehari selepas Presidennya Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa timbalan baginda, Tan Sri Annuar Musa telah melakukan "kesalahan besar" dan akan berhadapan dengan hukuman berat bulan depan.
Penggodam yang hanya menggelar mereka "Mesej dari rakyat_marhein" antara lain meninggalkan beberapa foto dan karikatur yang menggambarkan seolah-olah FAM mengawal dan cuba menutup mulut pegawai-pegawai kanannya daripada membuat kenyataan media.
Selain itu, penggodam juga mesej meminta FAM dirombak semula dan mahu presidennya meletakkan jawatan.
Serangan penggodam ini bukan kali pertama ke atas laman web FAM. Ia pernah digodam beberapa kali ketika FAM dan sukan bola sepak negara berhadapan dengan kontroversi.
Antaranya, FAM telah digodam Oktober lalu berikutan isu kenaikan harga tiket perlawanan Piala Malaysia.
Semalam, Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa Annuar telah melakukan satu kesalahan besar dan akan berdepan dengan Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 4 April ini untuk mengetahui keputusan mengenai kesnya itu.
“Dia (Annuar) perlu berdepan dengan Jawatankuasa Disiplin kerana apa yang dilakukan itu kesalahan besar. Bila sudah buat satu tindakan tidak bijak yang menyalahi undang-undang, dia kena berhadapan dengan tindakan itu,” titah baginda.
Dalam pada itu baginda bertitah, tindakan Annuar itu merupakan sesuatu langkah tidak wajar dan akhirnya memakan diri sendiri.
Baru-baru ini Annuar, bekas menteri Kabinet Persekutuan, melahirkan keraguan terhadap kemampuan Malaysia mempertahankan Piala Suzuki AFF November ini ekoran aksi goyah sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun pada satu majlis di Shah Alam baru-baru ini, Annuar berkata, kenyataan beliau disalah tafsir pihak media kerana beliau hanya mengkritik pasukan kebangsaan, tidak merujuk kepada mana-mana individu termasuk Datuk K Rajagobal.
Antara pertuduhan ke atas Annuar ialah melanggar Statut FAM dengan membuat kenya­taan akhbar, di mana hanya Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pe-ngurusan Pasukan Kebangsaan FAM saja boleh beri komen mengenai skuad kebangsaan.
Dalam pada itu, sekitar jam 5 petang tadi, foto dan karikatur telah dikeluarkan, sebaliknya hanya tinggal susulan indeks segmen-segmen laman web.

Friday, 30 March 2012

Laman web FAM digodam

NORASHIKIN LEMAN
30 Mac 2012
fam godam
fam godam
SHAH ALAM - Laman web Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) digodam, dipercayai tengah hari ini - sehari selepas Presidennya Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa timbalan baginda, Tan Sri Annuar Musa telah melakukan "kesalahan besar" dan akan berhadapan dengan hukuman berat..
Penggodam yang hanya menggelar "Mesej dari rakyat_marhein" antara lain meninggalkan foto dan karikatur yang menggambarkan seolah-olah FAM menutup mulut pegawai-pegawai kanannya.

AKAN MENYUSUL

Annuar Musa sedia terima hukuman FAM jika bersalah

29 Mac 2012
FAM
KOTA BAHRU - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau bersedia menerima apa sahaja hukuman yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib jika benar dirinya dianggap bersalah oleh badan induk itu.
Namun katanya, pada masa yang sama, FAM perlu realistik dalam menjatuhkan hukuman itu kerana jika silap, hukuman berkenaan akan dilihat sesetengah pihak sebagai satu "salah pentafsiran" yang akan memburukkan lagi keadaan.
"Apa yang saya khuatir akan berlaku salah tafsir dan jika berlaku salah tafsir akan berlaku ketidakadilan... ini perlu penelitian lebih lanjut (jika berlaku perkara itu) dan kongres perlu buat penambahbaikan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau juga tidak mahu menjangkakan apa bentuk hukuman yang bakal diputuskan nanti kerana khuatir ia akan menimbulkan persepsi lain dan semua pihak perlu menghormati apa sahaja keputusan jawatankuasa itu.
Annuar berkata, beliau akan membawa seseorang yang arif dalam bidang undang-undang ketika menghadap jawatankuasa berkenaan bagi membantunya menjawab segala pertuduhan yang dikenakan gara-gara secara terbuka mengkritik prestasi skuad kebangsaan di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal sebelum ini.
Katanya, FAM perlu melihat daripada sudut mana kesalahan itu dijatuhkan kerana pada masa itu beliau hanya menjawab soalan wartawan mengenai persembahan pasukan negara.

"Ketika itu Presiden dan timbalan tidak ada dalam negara dan saya pada waktu itu mewakili FAM yang jika saya tidak menjawab soalan mudah dari rakan wartawan ketika itu adalah tidak baik untuk persatuan dan saya boleh dihukum jika tidak menjawabnya pula seolah-olah saya tidak bersedia dan tidak bertanggungjawab," katanya.
Dalam pada itu, Presiden FAM,  Sultan Ahmad Shah berkata, Annuar dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin badan induk bola sepak negara pada 4 April ini kerana didakwa secara terbuka mengkritik prestasi skuad kebangsaan di bawah kendalian Rajagobal di media.

Baginda bertitah, Annuar perlu berdepan dengan jawatankuasa itu kerana tindakannya ternyata melanggar peraturan badan induk bola sepak negara kerana apa yang dilakukannya merupakan satu kesalahan yang amat besar.

"Bila kita buat satu benda yang bodoh, yang menyalahi undang-undang, kita kena berhadapan dengan tindakan itu," katanya di Kuantan.
Sultan Ahmad Shah bertitah, Annuar sepatutnya lebih arif mengenai peraturan yang telah ditetapkan FAM kerana Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu telah menyatakan bahawa hal FAM tidak wajar disebar kepada media tetapi patut dibawa berbincang dengan jawatankuasa berkenaan.
Baginda bertitah,  Annuar sepatutnya lebih tahu mengenai peraturan itu kerana ketika mesyuarat Exco baru-baru ini telah diberitahu oleh Tengku Abdullah supaya jangan lantang memberi keterangan kepada media tanpa kebenaran FAM.

Antara pertuduhan ke atas Annuar ialah melanggar Statut FAM dengan membuat kenyataan akhbar, di mana hanya Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM saja boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan.

Annuar juga dituduh melanggar titah Timbalan Presiden FAM ketika mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu iaitu hal-hal FAM tidak wajar disebar kepada media dan sepatutnya dibawa berbincang dengan jawatankuasa tersebut.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar digantung tiga tahun pada 1991 dan Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil dua kali digantung iaitu pada 2001 (empat tahun) dan 2006 (setahun) kerana mengkritik FAM. - Bernama
 

Tuesday, 27 March 2012

2 negeri Pantai Timur, Kedah dan Sime ke separuh akhir

Wartawan Sinar Harian
27 Mac 2012
Piala FA
SHAH ALAM - Terengganu dan Kedah berjaya melangkah ke separuh akhir persaingan Piala FA 2012.

Turut berjaya ke separuh akhir Kelantan dan Sime Darby.

Dalam perlawanan yang berlangsung malam ini, Kedah mengatasi T-Team 2-1 manakala Terengganu dan Lions XIII terikat tanpa jaringan.

Pada pusingan pertama, Terengganu mengatasi 1-0 di padang sendiri.

Dalam pada itu, Kelantan menjaringkan dua gol mengatasi SPA FC. Kelantan menang dengan aggregat 5-0.

Sementara itu, Johor FC tewas 1-2 di tangan Sime Darby.

Sime Darby menang dengan agregat 3-5.


KEPUTUSAN PENUH:

Lions XIII (0) - (0) Terengganu.
 (Terengganu
mara ke separuh akhir dengan agregat 1-0)

Johor FC (1) - (2) Sime Darby
(Sime Darby mara ke separuh akhir dengan agregat 5-3)


Kelantan (2) - (0) SPA FC
(
Kelantan mara ke separuh akhir dengan agregat 5-0)

T Team (1) - (2) Kedah.
(Kedah mara ke separuh akhir dengan agregat 2-1)

SEPARUH AKHIR:
Terengganu lawan Sime Darby

Kelantan lawan Kedah

Monday, 26 March 2012

Piala FA: Penyu, Kijang selesa

Wartawan Sinar Harian
25 Mac 2012
Piala FA
Rembatan Joseph Kalang Tie luar kotak penalti pada minit ke-66 memberi sedikit bekalan selesa menjelang perlawanan kedua kepada juara musim lalu, Terengganu apabila menewaskan Lions XII, 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Turun sebagai pasukan pilihan, anak buah Mat Zan Mat Aris nyaris merobek jaringan pelawat seawal minit pertama menerusi Francis Forkey Doe namun digagalkan pertahanan lawan.

Anak buah V Sundramoorthy cuba bangkit memberi tentangan pada separuh masa kedua, namun keampuhan benteng pertahan Sang Penyu menjadi penghalang kepada jentera penyudah Lions XII.

Pada minit ke-54, pelawat menerima tamparan apabila Kapten Lions XII, Hariss Harun menerima kad merah setelah mengasari Forkey Doe di kawasan penalti pelawat.

Sementara itu, naib juara musim lalu, Kelantan tidak menghadapi masalah apabila menewaskan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) FC 3 - 0, di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dua jaringan dari Mohd Norfarhan pada separuh masa kedua dan gol kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi menjelang penghujung separuh masa pertama memberi bekalan selesa buat Kelantan menjelang pertemuan kedua.

Aksi di utara tanah air pula, anak buah Wan Jamak Wan Hasan terpaksa akur kehebatan anak buah Yunus Alif apabila diikat 0-0 di Stadium Darulaman, malam tadi seterusnya memberi keselesaan kepada T-Team menjelang suku akhir kedua 27 Mac ini.

Fernando Alonso juara F1 Malaysia

25 Mac 2012
formula one
FERNANDO Alonso dari pasukan Scuderia Ferrari mencatatkan kemenangan dramatik dalam Grand Prix Petronas Malaysia 2012 apabila menafikan Sergio Perez dari pasukan Sauber F1 Team untuk merangkul kemenangan pertama Formula One di Litar Sepang, hari ini.
Pemandu dari Sepanyol itu mencatatkan dua jam, 44 minit dan 51.812 saat untuk mendahului Sergio Perez dari Mexico dengan hanya perbezaan 2.263 saat.
Sementara Lewis Hamilton dari pasukan Vodafone McLaren Mercedes yang memulakan perlumbaan di petak pertama, menduduki tempat ketiga sepertimana pada
musim pembukaan perlumbaan di Melbourne hujung minggu lepas dengan 2:45:06.403s.
"Kami tidak kompetitif di Australia atau di sini. Matlamat kami ialah mendapatkan sebanyak mata yang boleh dan kami berjaya melakukannya.
"Satu keputusan di luar jangkaan, kerja cemerlang daripada pasukan. Kami telah memaksimumkan potensi yanga ada, kekal tenang dalam beberapa keadaan tidak
diingini pada permulaan dengan gangguan dan perlu menukar tayar," kata Alonso.
Perlumbaan bermula dalam hujan lebat dan dihentikan selama 51 minit selepas lapan pusingan namun Alonso nyata cemerlang mengemudikan jentera yang sebelum
ini gagal mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam pusingan kelayakan dan pusingan musim pembukaan.
"Pasukan wajar dipuji bagi kemenangan ini. Ini merupakan waktu sukar bagi kami pada ketika ini, tetapi Ahad ini akan terpahat dalam ingatan kami untuk selamanya," kata juara dunia dua kali itu.
Kemenangannya hari ini merupakan gelaran keduanya dalam Grand Prix Malaysia dan pencapaian hebat dalam 28 tahun kariernya. Beliau memenangi Grand Prix Malaysia pada 2007 dengan pasukan McLaren Mercedes.
Alonso juga kini menjadi pendahulu kejohanan dunia ini dengan 35 mata, lima mata di hadapan Hamilton.
Sementara itu, Perez, 22, yang nyata hampir merealisasikan impian mencatatkan kemenangan pertamanya, namun peluang itu dinafikan apabila beliau
dipintas pada pusingan 50.
Bagaimanapun, beliau berjaya mencatatkan kemenangan podium pertamanya dan gembira dengan prestasi keretanya.
"Pasukan telah melakukan kerja dengan cemerlang dan saya berjaya mengejarnya pusingan demi pusingan. Saya mengekori Fernando (Alonso) pada akhir perlumbaan.
"Saya memberikan ruang agak luas pada sebelah kiri dan saya tersentuh bebendul jalan...saya gagal menang. Bagaimanapun, saya gembira kerana prestasi kereta terus bertambah baik. Pasukan ini memang hebat," kata Perez.
Pemenang musim pembukaan Jenson Button tidak memenangi sebarang mata pada perlumbaan hari ini selepas berlanggar dengan Narain Karthikeyan dari pasukan
HRT F1 Team dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-14.
Sementara pemandu pasukan Lotus F1 Team dan juara dunia 2007, Kimi Raikkonen mencatatkan masa pusingan terpantas dengan 1:40.722s pada pusingan 53. - Bernama

Wednesday, 21 March 2012

Ronaldo berminat terajui CBF

Wartawan Sinar Harian
21 Mac 2012
Ronaldo
BEKAS bintang bola sepak, Ronaldo, yang juga anggota jawatankuasa penganjuran Piala Dunia 2014 berminat untuk menjadi Presiden Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF).

Ronaldo menyatakan hasrat itu selepas ditemu bual akhbar harian Folha de Sao Paulo, baru-baru ini.

“Saya berminat memulakan karier politik saya dalam bola sepak. Presiden CBF? Ya, tapi saya tidak tahu adakah saya sesuai memegang jawatan itu.

“Segalanya terpulang kepada CBF sama ada menerima saya atau sebaliknya,” katanya.

Awal bulan ini, Ricardo Teixeira, yang mengetuai CBF sejak 1989, mengundur diri serta meletakkan jawatannya sebagai pengerusi jawatankuasa penganjuran Piala Dunia 2014.

Peletakan jawatan selepas 22 tahun mengetuai CBF itu, dikaitkan dengan kontroversi mengenai dakwaan penyelewengan wang badan bola sepak kebangsaan itu, di Brazil dan di luar negara.

Friday, 16 March 2012

Misi benam Perak di Ipoh

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
15 Mac 2012
KOTA BHARU - Pendahulu Liga Super, The Red Warriors menggalas misi sukar apabila bertemu Perak dalam aksi pertemuan sengit yang berlangsung di Stadium Ipoh malam lusa.

Ini diakui sendiri Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi yang menyifatkan pertemuan negeri berjiran itu pasti menjanjikan aksi yang menarik memandangkan kedua-dua pasukan menyasarkan misi yang sama iaitu mahu mencipta kemenangan.

“Saya akui tugas berat menanti Kelantan apabila bertemu Perak di Ipoh. Tetapi kita tidak tidak boleh kalah dan perlu saya jelaskan misi Kelantan bertandang ke Ipoh ialah mahu mencatatkan kemenangan pada pertemuan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

“Dua musim (seri 0-0 pada 2010 dan tewas 0-4 pada musim lalu) yang sukar bagi Kelantan setiap kali beraksi di Ipoh. Jadi apakah kita mahu kecewa lagi? Saya tidak fikir kita mahu menerima nasib yang sama sekali lagi.

“Tiga mata amat penting bagi kita kerana empat pasukan iaitu Terengganu, Lions XII, T-Team dan Perak kian menghambat kita. Saya tidak rela tampuk pendahulu liga bertukar tangan kepada pasukan lain setelah kita menerajuinya sejak 20 Januari lalu,” katanya.

Pemain berusia 30 tahun itu walau bagaimanapun memberi peringatan kepada rakan sepasukannya tidak memandang mudah pertemuan ini memandangkan pasukan Seladang ibarat harimau terluka dan sudah pasti memburu kemenangan moral setelah tewas kepada Terengganu pada pusingan kedua kempen Piala FA baru-baru ini.

“Sudah pasti mereka mahu bangkit mencipta kemenangan lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang sendiri. Kita kena akui Perak merupakan pasukan yang kuat pada musim ini. Malah percaturan taktikal jurulatih mereka (Norizan Bakar) kadang kala sukar diramal.

“Kita jangan lupa mereka ada Michal Kubala, Akmal Rizal (Ahmad Rakhli), Shahrulnizam (Mustapa) dan Mohd Shafiq (Jamal) yang boleh memusnahkan impian kita. Jadi semua kita perlu berwaspada dengan pergerakan pemain ini,” katanya.

Mengulas ketiadaan penggempur berbisa, Norshahrul Idlan Talaha yang pasti diketepikan kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut, pemain yang terkenal dengan panggilan Piya itu tidak menganggap itu masalah besar bagi Kelantan.

“Sebaliknya ini merupakan peluang terbaik kepada pemain import, Onyekachi Nwoha membuktikan kemampuannya. Dia perlu menjaringkan gol dalam pertemuan ini sebagai motivasi kepada dirinya sendiri.

“Tetapi saya percaya pemain tempatan lain seperti Indra Putra (Mahayuddin), Mohd Norfarhan (Muhammad) juga boleh memainkan peranan yang sama merobek pintu gol Perak malam esok,” katanya.

AFC beri kebenaran Kijang bermain di Kelantan

INTAN ATHIRAH REBUWANG
15 Mac 2012
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)
KELANTAN kini dapat menarik nafas lega apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan perlawanan Kelantan menentang Arema Indonesia pada 4 April depan, akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, perlawanan hanya akan diadakan dengan syarat Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) melengkapkan beberapa kemudahan iaitu bilik doping, bilik kesihatan, lampu limpah, kemudahan Internet untuk media dan beberapa perkara lain.

“Perkara ini kita telah sampaikan kepada PSK dan langkah-langkah sewajarnya sedang dilaksanakan mereka.

“AFC memberi tempoh sehingga 18 Mac ini untuk melaporkan setiap persiapan ditetapkan dan sekiranya memuaskan, perlawanan pada April depan dan 8 Mei menentang pasukan Myanmar, Ayeyawady United boleh berlangsung pada sebelah malam di Kelantan,” katanya.

Sebelum ini, perlawanan pertama The Red Warriors menentang Navibank Saigon terpaksa ditukar ke Stadium Nasional Bukit Jalil gara-gara kegagalan stadium di Kota Bharu yang masih dalam proses penambahbaikan.

Sunday, 11 March 2012

Chong Wei di final, buru hat trick All England

Wartawan Sinar Harian
10 Mac 2012
lee chong wei
KUALA LUMPUR - Perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Seluruh England untuk memenangi gelaran buat tahun ketiga berturut-turut.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Birmingham sebentar tadi, juara bertahan ini menewaskan Lee Hyun Il, dari Korea Selatan, 21-19 dan 21-18 dalam masa 44 minit.
Di perlawanan akhir, Chong Wei akan bertemu sama ada Lin Dan ataupun Kenichi Tago.
Tahun lalu, Chong Wei mengetepikan musuh ketatnya Lin Dan dari China untuk mempertahankan kejuaraan. Ketika itu dia mengambil masa 52 minit untuk menundukkan Lin Dan dengan 21-17, 21-17.
Bagaimanapun, kempen beregu campuran utama negara, Goh Liu Ying/Chan Peng Soon untuk mara ke final berakhir apabila tunduk kepada gandingan Indonesia,
Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir.
Beregu Malaysia itu memberi tentangan hebat kepada beregu nombor empat dunia dari Indonesia itu pada set pertama separuh akhir dengan 25-27  dan terpaksa
terpaksa akur dengan kehebatan pihak lawan pada set kedua 16-21.
Tontowi/Liliyana akan bertemu dengan beregu campuran dari Denmark, Thomas Laybourn/Kamilla Rytter Juhl, pada peringkat akhir kejohanan berprestij itu di National Indoor Arena, Birmingham, malam esok.

Piala FA: Terengganu, Kelantan mara

10 Mac 2012
JUARA bertahan Terengganu meneruskan reputasi sebagai pasukan pilihan saingan kempen Piala FA musim ini dengan menewaskan juara 1990, Perak 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.
Gol jaringan Mohd Ashaari Shamsuddin pada minit terakhir separuh masa pertama sudah cukup membolehkan naib juara Piala Malaysia musim lalu itu mara ke suku akhir.
Juara dua kali pada 2000 dan 2011 itu bagaimanapun berhadapan laluan getir pada suku akhir selepas dijadualkan bertemu dengan pendatang baru, Lions XII yang mengalahkan NS Betaria, 2-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Jiran mereka, Kelantan yang juga naib juara Piala FA, turut layak setelah mencatatkan kemenangan tipis, 3-2 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhamad ke-IV, Kota Bharu.
Tiga gol skuad Kijang dijaringkan oleh Mohd Norfarhan Muhammad pada minit ke-30, Indra Putra Mahayuddin (minit ke-43) dan kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi (minit ke-65).
Dua gol Kuala Lumpur dijaringkan oleh Muhd Afiq Azmi pada minit ke-39 dan Fazuan Abdullah pada minit-minit akhir permainan.
Kelantan akan bertemu dengan SPA FC pada perlawanan suku akhir selepas pasukan kelab dari Lembah Klang itu mengalahkan kelab dari Kemboja Preach Khan Reach FC, 1-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Mengikuti jejak langkah dua pasukan dari Pantai Timur itu ialah Kedah yang turut mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas jiran mereka, Perlis di Stadium Darul Aman.
Tiga gol skuad Kenari dijaringkan oleh Mohd Khyril Muhymeen pada minit ketujuh dan 37 serta Amar Rohidan pada minit ke-24 manakala dua gol pasukan pelawat dihasilkan oleh Mohd Rizal Ghazali pada minit ke-21 dan pemain import dari Sierra Leon, Henry Lewis pada minit ke-66.
Skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu akan bertemu dengan pasukan kelab dari Terengganu, T-Team yang menumpaskan Pahang 3-2 di Stadium Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.
Sementara itu, hajat juara lima kali Piala FA, Selangor untuk melangkah ke peringkat suku akhir tidak kesampaian apabila mereka kalah 4-5 kepada Johor FC menerusi sepakan penalti selepas terikat 2-2 dalam masa penuh perlawanan.
Dua gol Selangor dijaringkan oleh Azidan Sarudin pada minit ke-30 dan Mohd Asrarudin Putra Omar pada minit ke-55 manakala dua gol Johor FC dihasilkan oleh Ahmad Fauzi Saari pada minit ke-58 dan penyerang import dari Brazil Arthur Henrique Bernhardt pada minit ke-64.
Peringkat suku akhir Piala FA yang menggunakan format timbal balik akan berlangsung pada 24 dan 27 Mac ini.

Saturday, 3 March 2012

Apex mahu fokus karier, niaga


Khairul Fahmi Che Mat
KOTA BHARU - Penjaga gawang nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat yang dipalit pelbagai kontroversi sebelum ini, menjelaskan beliau hanya mahu fokus terhadap karier bola sepak berbanding gosip liar berkait dirinya.

Beliau menegaskan mahu memberi tumpuan kepada kerjaya dan mengharapkan segala kontroversi negatif tidak timbul lagi selepas ini kerana mahu lebih tenang dan selamat.

“Saya ingin memberi komitmen sepenuhnya kepada kerjaya dengan harapan karier sebagai pemain bola sepak ini akan lebih berkembang.

“Selain itu, saya juga perlu fokus pada bidang perniagaan dan berharga ia akan lebih maju dengan sokongan tidak berbelah bagi daripada para peminat,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Logo Kelab Peminat Fahmi Che Mat Malaysia (KPKFM) di KB Mall di sini, hari ini.

Khairul Fahmi atau Apex ketika diminta mengulas berhubung insiden simbah cat di pejabatnya di Jalan Sri Cemerlang di sini, pada Februari lalu, penjaga gol kebangsaan itu menjelaskan, beliau menganggap perkara itu sudah selesai.

Katanya, selepas laporan polis yang dibuat, perkara tersebut diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Alhamdulillah, selepas kejadian itu, tidak ada lagi insiden sama berulang. Sememangnya saya mengharapkannya keadaan ini, bukan sahaja sekarang malah juga pada masa-masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Apex memeriahkan lebih 100 peminatnya pada hari pertama program tiga hari KPKFM, hari ini.

Menurutnya, kelab tersebut ditubuhkan bertujuan memberi peluang seluruh lapisan peminat untuk lebih mengenali dan beramah mesra bersama penjaga gol terbaik Asia itu secara lebih dekat.

“Ini tanda penghargaan saya kepada mereka yang sudah banyak memberi sokongan sehingga saya boleh berada di sini sekarang.

“Saya tidak menetapkan sasaran seberapa banyak ahli yang mendaftar. Perkara paling penting ialah, kelab ini akan terus bergerak aktif menyediakan pelbagai program dari semasa ke semasa dan bukan hanya ditubuhkan untuk suka-suka sahaja,” katanya.

Apex sebelum ini pernah berdepan beberapa gosip liar termasuk dikatakan menjadi punca seorang pemilik butik, Nur Eilinie Natasha Nazri, 21, atau 'Leuniey' memutuskan ikatan pertunangannya dengan anak seorang usahawan batik di negeri ini.

Thursday, 1 March 2012

LTdL 2012: Peringkat ke-7 (Bentong-Kuantan)

Wartawan Sinar Harian
1 Mac 2012
le tour de langkawi 2012
BERIKUT ialah perkembangan semasa kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 yang masuk peringkat tujuh hari ini melibatkan jarak 205.8 kilometer (km) dari Bentong, Pahang hingga Kuantan, Pahang.

10.47 pagi: Peloton berjaya menagkap kembali tujuk pelumba yang cuma membuat breakaway.

10.45 pagi: Tujuh pelumba cuba melakukan breakaway pada kilometer ke 33.

10.34 pagi: Para pelumba telah mengharungi 25.8km, purata kelajuan 51.6km / jam.

10.29 pagi: Selepas 25km, semua pelumba masih dalam kepompok besar walaupun ada beberapa pelumba cuba membuat pecahan tapi mereka ditangkap semula peloton.

10.11 pagi: Selepas 10km, tiada pemecahan dilakukan. Pelumba masih lagi dalam peloton.

10.09 pagi: Para pelumba telah memasuki bandar Karak.

9.51 pagi: Perlumbaan akan bermula ikut jadual iaitu tepat jam 10am

9.43 pagi: Jarak pelumbaan adalah sejauh 205.8km

9.34 pagi: Konvoi cavalcade telah dilepaskan

9.31 pagi: Perlumbaan peringkat ke-7 bermula dari Bentong dan tamat di Kuantan.

Wednesday, 29 February 2012

BERITA SUKAN MALAYSIA

Butler tinggalkan Kelantan

Wartawan Sinar Harian
28 Februari 2012
Peter James Butler
KOTA BHARU - Ketua Jurulatih Kelantan, Peter Butler akhirinya menamatkan kontrak secara rasmi dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkuat kuasa hari ini.

‎​​Ikatan tersebut terlerai setelah kedua-dua pihak mencapai persetujuan secara bersama pada perbincangan tertutup tengah hari tadi.
Timbalan Presiden Kafa Datuk Afandi Hamzah berkata keputusan menamatkan kontrak Butler sebagai ketua jurulatih itu dicapai selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dalam satu pertemuan di Wisma Kafa di sini.
"Kami berbincang secara kekeluargaan dan kedua-dua pihak akhirnya bersetuju untuk meleraikan ikatan ini.
"Kontrak Butler bersama Kafa berakhir yang berkuatkuasa hari ini dan Kafa mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangannya terhadap Kelantan dan pasukan selama ini," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian bersama penamatan kontrak itu di sini.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim.
Butler sebelum ini mencetuskan isu apabila tidak kelihatan melatih pasukan Kelantan sebelum ini berikutan "perang dingin" antara bekas jurulatih itu dengan pengurusan Kafa.
Khabar angin yang mengatakan Kafa akan mengambil jurulatih baru terus bertiup kencang apabila persatuan itu melantik bekas ketua jurulatih UPB My Team, Bojan Hodak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Al-Hamra Red Warriors (Army) yang baru.
Namun apabila ditanya sama ada benar Kafa akan melantik Bojan sebagai ketua jurulatih yang baru, Afandi berkata keputusan itu belum muktamad.
"Bojan dan beberapa nama jurulatih tempatan kini sedang dalam perhatian Kafa dan kita belum buat keputusan dan Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa akan mengumumkannya dalam tempoh tidak lama lagi," katanya.
Mengulas Bojan yang dilihat melatih pasukan Kelantan sekarang, Afandi berkata Bojan berhak melatih bersama penolong jurulatih yang lain iaitu Zahasmi Ismail dan Sidek Shamsuddin kerana mereka adalah pegawai terlatih Kafa.
Butler ketika ditanya selepas itu bagaimanapun melahirkan rasa terkejut apabila kontraknya ditamatkan namun beliau akur kerana itu adalah hak Kafa untuk berbuat demikian.
"Saya sedikit terkejut tetapi keputusan ini saya terima dengan baik dan kami pun berbincang dengan baik dan saya menerimanya juga dengan baik," katanya.
Beliau bagaimanapun belum menetapkan hala tujunya selepas ini tetapi akan tetap menjadi seorang jurulatih bola sepak di mana sahaja.
"Saya berharap pasukan Kelantan akan lebih baik selepas ini dan Kelantan adalah sangat dekat di hati saya dan kepada peminat bantulah pasukan ini untuk menjadi yang terbaik," katanya.
Bersama Kelantan pada 2008-2009, Butler telah melonjakkan nama pasukan itu apabila dapat melangkah ke Liga Super pada 2009.
Bekas pemain tengah West Ham United, Butler telah berjaya membawa Kelantan ke perlawanan akhir Piala FA namun kalah di tangan Selangor pada tahun yang sama.
Butler kemudiannya dikatakan merajuk dan membawa diri ke tempat lain sehingga kembali semula ke Kelantan pada musim baru ini selepas pengunduran Datuk M. Karathu.
Kelantan kini di tangga teratas liga dengan mengutip 17 mata keseluruhan selepas lapan perlawanan.

Sunday, 26 February 2012

Kafa bina stadium RM300 juta

Wartawan Sinar Harian
26 Februari 2012
Stadium
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) bakal memiliki stadium sendiri di tapak yang dikurniakan Sultan Muhammad Ke-V di Bandar Baru Tunjong.
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, stadium bernilai kira-kira RM300 juta, akan dibina secepat mungkin di tanah seluas kira-kira lapan hektar.

“Sultan Muhammad Ke-V berkenan membenarkan tanah seluas kira-kira 40 hektar di kawasan Tunjong dibangunkan, termasuk membina sebuah stadium yang canggih seluas lapan hektar di mana reka bentuknya berdasarkan Stadium Cardiff City.
 
“Baginda juga bersetuju melantik Syarikat Casamesra Sdn Bhd untuk membina stadium berkenaan berdasarkan reka bentuk diberikan oleh Kafa, selain itu, Kafa juga akan menguruskan mengenai pengurusan stadium berkenaan,” katanya stadium baru itu mampu menampung kira-kira 30,000 penonton pada satu-satu masa.

“Kita memerlukan stadium baru kerana stadium Sultan Muhammad Ke-IV sekarang uzur dan tidak dapat menampung jumlah penonton yang semakin meningkat,” katanya.

Saturday, 25 February 2012

Kafa rehatkan Butler 'lantang'

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
24 Februari 2012
Butler gembira aksi Antwi, Okime
KOTA BHARU -  Pengendali The Red Warriors, Peter Butler menjadi jurulatih pertama yang menerima nasib malang dalam kancah Liga Malaysia musim ini apabila direhatkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkuat kuasa serta-merta, semalam.
Tindakan drastik itu diambil setelah Butler sebelum ini dilihat lantang mengeluarkan kenyataan tidak berpuas hati kepada pihak media mengenai campur tangan pihak pengurusan terutamanya dalam menentukan kedudukan pemain import Kelantan sebelum ini.
Setiausaha Agungnya, Azman Ibrahim berkata, keputusan merehatkan Butler diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Kafa yang bermesyuarat pada 18 Februari lalu, namun baru di kuat kuasa semalam memandangkan pihaknya tidak mahu pasukan hilang fokus ketika saingan pusingan pertama Piala FA menentang Sarawak, minggu lalu.
“Kita tidak menggantung Butler tetapi hanya merehatkan sahaja sehingga dia tampil memberikan penjelasan mengenai ketidakpuashatiannya mengenai pelbagai perkara berbangkit terhadap pihak pengurusan sebelum ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.
Pada masa sama katanya, Kafa beranggapan Butler tidak boleh melatih pasukan selagi jurulatih itu sedang menghadapi masalah ini.
Namun, pihak pengurusan memberi peluang kepada Butler untuk tampil memberi penjelasan dan Kafa katanya sedia berbincang secara terperinci
mengenai masalah dihadapi jurulatih itu.
“Butler masih Ketua Jurulatih Kelantan dan kita tidak menetapkan tempoh masa tertentu mengenai keputusan merehatkannya. Tugas melatih
pasukan kini diuruskan kepada dua penolongnya, Zahasmi Ismail dan Sideek Samsuddin,” katanya.
Menurut Azman, soal mencari pengganti Butler tidak timbul sama sekali memandangkan pihaknya tidak pernah berbincang mengenai perkara
tersebut dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan baru-baru ini.
“Pemain Kelantan kembali menjalani latihan bermula hari ini (semalam) dan ia tetap berjalan seperti biasa meskipun tanpa kelibat Butler di atas padang,” katanya.

Thursday, 23 February 2012

Jepun Lawan Malaysia


SILA KLIK PLAY UNTUK TONTONAN

Olimpik 2012: Jepun atasi Harimau Muda 4-0

Wartawan Sinar Harian
22 Februari 2012
Harimau Muda
PERLAWANAN kelayakan bola sepak ke Sukan Olimpik 2012, Harimau Muda A menentang Jepun menyaksikan pasukan pelawat mengatasi skuad negara 4-0, sekali gus menamatkan pertemuan dengan agregat 6-0.
Dalam pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula jam 9 malam tadi, Jepun memperoleh empat gol tanpa dibalas.
Jepun mendahului pada minit ke-35 menerusi jaringan Hiroki Sakai. Gol kedua negara itu dijaringkan oleh Yuya Osako pada minit ke-44.
Gol ketiga Jepun disumbat pada minit ke-55 dan yang seterusnya pada minit ke-60.
Jepun membawa bekalan selesa 2-0 selepas menumpaskan pasukan kendalian Ong Kim Swee pada aksi pertama pada September 2011.
Laporan Bernama menyebut, Jepun bermula garang sejak awal babak pertama melakukan beberapa cubaan berbahaya bagi membolosi gawang gol negara yang dikawal rapi oleh Khairul Fahmi Che Mat.
Malaysia hampir memperoleh peluang untuk menjaringkan gol pertama menerusi sepakan percuma pada minit ke-24 namun ia gagal digunakan sepenuhnya oleh Wan Zaharulnizam Wan Zakaria apabila sepak derasnya tersasar.
Jepun yang terus melakukan asakan bertubi-tubi ke gawang gol Malaysia akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi gol pertama yang dijaringkan oleh
Sakai Hiroki pada minit ke-35.
Pemain berusia 22 tahun skuad Samurai biru, Osako Yuya kemudian menyumbang gol kedua hasil tandukan pada minit ke-44.
Pada babak kedua perlawanan, pasukan Jepun mula berpesta gol apabila Haraguchi Gengki menjaringkan gol ketiga pada minit ke-55, diikuti gol keempat
oleh Saito Manabu lima minit kemudian.
Jepun dijadual bertemu Bahrain pada 14 Mac ini.
Malaysia kalah kesemua perlawanannya sebelum ini dan berada di tangga tercorot antara empat pasukan dalam kumpulan C.
Kali terakhir skuad bola sepak negara layak ke Olimpik adalah pada 1972 di Munich, Jerman yang ketika itu dikenali Jerman Barat.

Sunday, 19 February 2012

Piala FA: Kelantan, Terengganu mara

Wartawan Sinar Harian
18 Februari 2012
Kelantan
KOTA BHARU - Pasukan The Red Warriors menjaringkan gol kedua pada waktu kecederaan separuh masa kedua untuk menewaskan Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.
Kemenangan 2-1 ke atas Sarawak membolehkan Kelantan mara ke pusingan kedua persaingan Piala FA.
Pasukan pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan Mohd Azizan Baba pada minit ke-18 sebelum Indra Putra Mahayuddin dan Nor Farhan Mohamad menyumbat dua gol untuk Kelantan pada minit ke-34 dan 91.
Menanti skuad Kijang pada pusingan kedua ialah Kuala Lumpur yang membenam cabaran wakil dari Johor, MP Muar dengan kemenangan 3-0 menerusi jaringan Arman Fareez Mohd Ali (minit ke-40), Khairul Anuar Shafie (60) dan Fazuan Abdullah pada minit ke-89 di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Selain Kelantan, juara bertahan Terengganu dan Selangor juga berjaya melangkah ke pusingan kedua Piala FA setelah mengalahkan lawan masing-masing pada perlawanan pusingan pertama.
Terengganu, yang juga juara Piala FA sebanyak dua kali iaitu pada 2000 dan 2011, mara selepas mencatatkan kemenangan selesa, 4-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Empat gol pasukan tuan rumah dihasilkan oleh Abdul Hadi Yahya pada minit kesembilan, Abdul Manaf Mamat (minit ke-37 dan 65) dan penyerang import mereka dari Liberia Francis Forkey Doe pada minit ke-79.
Terengganu bagaimanapun bakal berhadapan tugas getir pada pusingan kedua 10 Mac ini apabila dijadualkan bertemu dengan Perak yang mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 di Stadium Perak, semalam.
Selangor turut mara selepas membelasah wakil Pahang Shahzan Muda 4-0 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.
Empat gol skuad bimbingan Irfan Bakti itu dijaringkan oleh pemain import mereka dari Croatia Bosko Balaban pada minit ke-21, Mohd Safiq Rahim pada minit ke-62 dan 72 serta kapten pasukan Mohd Amri Yahyah pada minit ke-81.
Bagaimanapun hajat Negeri Sembilan untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kedua tidak kesampaian selepas kalah 1-2 kepada Johor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
Pemain import dari Cameroon Jean Emmanuel Effa Owona terlebih dahulu menceriakan pasukan tuan rumah menerusi jaringan pada minit ke-24 sebelum pemain import dari Brazil Arthur Henrique Bernhardt menjadi wira pasukan Johor FC dengan menyumbat dua gol pada minit ke-29 dan 79.

Lawan Jepun, skuad Olimplik diharap bawa kemenangan pertama

Wartawan Sinar Harian
18 Februari 2012
Malaysia vs syria
KEMAMAN -  Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengharapkan skuad bola sepak Olimpik negara mampu beroleh sekurang-kurangnya satu mata berharga menjelang aksi kelima Kumpulan C menentang Jepun di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.

Ahmad Shabery berkata pencarian kemenangan pertama amat bererti untuk dihadiahkan kepada peminat-peminat walaupun peluang telah tertutup setelah gagal mencatat sebarang kemenangan semasa saingan di peringkat kumpulan C kelayakan Zon Asia.

"Kita sudah dianggap sebagai sebuah pasukan terbaik di kalangan negara Asean dan saya percaya semangat dan keazaman yang berbaki itu akan terus diharungi sebaiknya dengan memberikan tentangan kepada pasukan matahari terbit itu.

  "Saya harap mereka kini telah bersedia dan gunakan peluang sebaiknya beraksi di hadapan penyokong sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Maulidul Rasul peringkat daerah Kemaman, di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata walaupun skuad Olimpik negara menerima kekalahan 2-0 kepada Jepun ketika perlawanan pertama di Stadium Tosu pada 21 September lalu, tidak ada sebab semangat pemain luntur atas rasa tanggungjawab menggalas tugas negara.

Dalam saingan tersebut, skuad Olimpik negara kendalian jurulatih Ong Kim Swee diundi dalam kumpulan C bersama-sama pasukan Jepun, Syria dan Bahrain. – Bernama

Wednesday, 15 February 2012

Rekod lebur, Balaban benam ego Kelantan

SUBKHI SUDAJI
15 Februari 2012
Selangor
PENAMPILAN sulung pemain import Selangor dari Croatia, Bosko Balaban nyata menjadi apabila menjaringkan satu gol membantu menewaskan Kelantan 2-1 pada saingan Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Dua gol Selangor dijaringkan Mohd Shafiq Rahim pada minit ke-46 sebelum Selangor melebarkan cengkaman gol melalui Bosko Balaban pada minit ke-61 yang bijak melepasi perangkap offside sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat.

Gol sagu hati pelawat diperolehi pada minit ke-91 melalui Subramaniam yang menolak masuk bola dalam keadaan kelam kabut di depan gawang gol tuan rumah.

Selangor memulakan gerakan untuk mencari gol pendahuluan melalui beberapa serangan dijelmakan oleh Safiq yang melorongkan bola kepada jentera pemusnah baru mereka yang berjaya mengawal bola dan membuat hantaran, namun gagal di sudah rakan.

Kelantan turut mencipta beberapa peluang melalui Norshahrul Idlan Talaha bersama gandingannya Indra Putra Mahyudin namun hampa apabila benteng pertahanan dikawal Ramez Dayoub bijak membaca hantaran.

Selepas seminit babak kedua bermula, Selangor akhirnya memperolehi jaringan pendahuluan melalui rembatan Shafiq di luar kotak penalti yang terus menerjah jaring kiri gol pelawat menewaskan Khairul Fahmi.

Tersentak dengan jaringan berkenaan Kelantan melakukan serangan bertali arus dan mempunyai beberapa peluang terhidang namun sekali lagi gagal memecah kebuntuan mendapatkan gol penyamaan.

Ketika Kelantan ghairah melancarkan serangan memburu gol penyamaan, tindakan Shafiq yang melambungkan bola pada minit ke-61 kepada Bosko yang berjaya melepasi perangkap offside melebarkan jaringan selepas Bosko melepaskan rembatan menewaskan Khairul Fahmi.

Kelantan akhirnya mendapat gol sagu hati pada minit ke-91 apabila Subramaniam menolak masuk bola bola ketika situasi kelam kabut di hadapan gawang Selangor.

Usaha pelawat untuk mendapatkan gol penyamaan nyata tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati dan menerima kekalahan pertama dalam Liga Super 2012.

Tuesday, 14 February 2012

Pejabat Apex disimbah cat, dipercayai angkara khianat

SAPINAH AB GHANI
13 Februari 2012
Menang mudah, pertahan kemenangan sukar
KOTA BHARU - Belum pun reda kontroversi yang melanda penjaga gawang kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, selepas dikatakan menjadi punca putusnya pertunangan seorang gadis, semalam pejabatnya, Khairul Fahmi Resources (KFR) Sdn Bhd pula disimbah cat dipercayai perbuatan khianat.

Pengurusnya, Syed Ahmad Syed Mohd Yusof berkata, beliau mengetahui tentang kejadian berkenaan setelah dimaklumkan pekerjanya yang tiba di pejabat pagi semalam, sebelum mendapati pejabat yang terletak di Jalan Sri Cemerlang, di sini disimbah cat hitam.

“Ini merupakan kejadian ketiga pejabat KFR disimbah cat berwarna hitam. Ketiga-tiga kejadian berlaku dalam bulan ini iaitu pada 5, 10, dan 12 Februari.

“Kami tidak tahu angkara siapa dan apa sebenarnya motif di sebalik semua ini,” katanya yang masih terkejut apabila mendapati bahagian depan dan bumbung pejabat berkenaan dipenuhi tompokan cat hitam.

Menurutnya, beliau percayai kejadian tersebut berlaku antara jam 12 tengah malam hingga 5 pagi kerana ketika itu suasana di kawasan perumahan yang menempatkan pejabat KFR agak sunyi.

“Apex (Khairul Fahmi) sendiri sudah melihat kejadian ini, jika sebelum ini kami tidak mempunyai bukti untuk mengambil tindakan tetapi dalam kejadian semalam, kami menemui satu bungkusan plastik cat yang boleh dijadikan bahan bukti untuk mengesan dalangnya,” katanya.

Syed Ahmad berkata, beliau dan majikannya, Khairul Fahmi, 23, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kota Bharu kira-kira jam 12 tengah hari semalam untuk siasatan lanjut.

“Saya dan Apex telah membuat laporan polis dan kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian ini. Kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu menyelesaikan kes ini,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun kini apa yang lebih membimbangkan ialah keselamatan Khairul Fahmi.

“Bila berlaku kejadian macam ni, Apex turut bimbang, manalah tahu dia pula yang dicederakan selepas ini, sebab itulah kami membuat laporan polis, tetapi rasanya tak ada masalah sebab Apex sekarang sudah ada pengawal peribadi yang sentiasa mengiringi pergerakannya,” katanya.

Sementara itu, Apex yang juga penjaga gol terbaik Asia, menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk membuat siasatan berhubung kes berkenaan.

Menurutnya, dia akan memberikan kerjasama kepada pihak polis bagi memudahkan urusan sepanjang siasatan dijalankan.

“Saya tak nak komen apa-apa berhubung kes ini, dan semuanya saya serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Monday, 13 February 2012

Kelantan kembali terajui saingan Liga Super

Wartawan Sinar Harian
11 Februari 2012
kelantan
KUALA LUMPUR - Kelantan kembali menerajui kedudukan teratas Liga Super hasil kejayaan menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Baharu malam tadi.
Pasukan terkenal dengan jolokan 'The Red Warriors' itu kini mengutip 17 mata iaitu dua mata di hadapan pencabar terdekat Perak selepas mengharungi tujuh perlawanan.
Penyerang berbisa Norsharul Idlan Talaha memecah kebuntuan pasukan tuan rumah hasil jaringan pada minit ke-37 menerusi hantaran kemas Mohd Nurul Azwan Roya.
Kelantan kemudiannya menggandakan kedudukan 2-0 menerusi kapten pasukan Mohd Badhri Mohd Radzi pada minit ke-52.
Gol tunggal Terengganu hanya hadir pada pada minit terakhir perlawanan menerusi jaringan Mohd Ashari Shamsudin.
Sementara itu, harapan Perak untuk terus menduduki tangga teratas liga berkecai apabila tewas 0-2 kepada T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Dua gol T-Team dijaringkan Bojan Petric pada minit ke-56 dan sepakan penalti Zairo Anuar Zailani (minit ke-88).
Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya, pasukan Selangor seperti hilang bisa apabila tewas 0-2 kepada pasukan bertaraf kelab, Selangor PKNS.
Gol Selangor PKNS dijaringkan oleh Rudie Ramli pada minit ke-33 dan Helmi Remeli (minit ke-60).
Sarawak pula menewaskan Felda United 2-1 di Stadium Negeri Sarawak, Kuching.
Gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Vedran Murotovic pada minit ke-45 dan Asri Chuchu pada minit ke-84, Manakala gol tunggal Felda United di
sumbangkan oleh Mohd Firdaus Faudzi.
Pasukan Lions XII mengalahkan Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Dua tuan rumah dijaringkan oleh Mohd Shahril Ishak pada minit ke-31 dan minit ke-60 dan Shahdan Sulaiman menjaringkan gol ketiga pada minit ke-50.
Negeri Sembilan memperoleh gol tunggal hasil jaringan Mohd Firdaus Azizul pada minit ke-90.
Kedah pula seri 2-2 dengan Sabah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Gol kedah dijaringkan oleh Mohd Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-38 dan Mohd Faizal Abu Bakar (minit ke-39) manakala dua gol Sabah disumbangkan oleh Sharudin Yakup pada minit 21 dan 56.
Pasukan tercorot, Kuala Lumpur terus dihantui kekalahan setelah tumpas 0-2 kepada Johor FC di Stadium Hang Jebat, Melaka. Gol Johor FC dijaringkan Mohd Haris Safuan Mohd Kamal pada minit keenam dan Jasazrin Jamaluddin pada minit ke-83. - Bernama

Thursday, 9 February 2012

Rasuah: FAM gantung 11 pemain Piala Presiden NS

8 Februari 2012
FAM
KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan penggantungan 11 pemain skuad Piala Presiden Negeri Sembilan musim lepas daripada sebarang aktiviti bola sepak tempatan antara setahun dan lima tahun kerana terlibat dengan skandal rasuah.
Penggantungan itu berkuat kuasa sejak 30 November lepas.
Kenyataan FAM hari ini menyebut siasatan Jawatankuasa Tatatertib FAM ke atas pegawai dan pemain skuad Piala Presiden pasukan itu mendapati terdapat unsur-unsur rasuah dan gejala mengatur perlawanan melibatkan pasukan berkenaan.
Empat pemain iaitu Mohd Yatim Abdullah, D. Adrian, Norhairi Abdul Rahman dan Muhammad Zulfadhlie Mohamad A'ashari dikenakan penggantungan setahun daripada aktiviti bola sepak dan hukuman tersebut tidak boleh dirayu.
Tujuh lagi pemain iaitu Muhammad Zaidi Othman, Hamirul Fahamie Abu Yazid, Anwarul Hafiz Ahmad, Muhammad Haikal Mohamad Nazri, Suhairy Johari, Muhammad Rizqi Azman dan Mohd Hafiz Mohd Nor digantung selama lima tahun dan tidak dibenarkan terlibat dalam aktiviti bola sepak di peringkat kebangsaan.
"Rayuan hanya boleh dibuat selepas satu tahun dan rayuan hendaklah dibuat secara bertulis kepada FAM," kata badan induk bola sepak negara itu.
FAM turut menyatakan bekas ketua jurulatih Piala Presiden Negeri Sembilan musim lepas Yusarman Yusof digantung seumur hidup daripada sebarang aktiviti bola sepak dan beliau hanya boleh membuat rayuan bertulis kepada FAM selepas 10 tahun.
Kenyataan itu menyebut pemain dan pegawai Piala Presiden pasukan SDM Pulau Pinang, Johor MP Muar dan Terengganu T-Team 2010 turut digantung sementara sehingga mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang akan datang.
Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad baru-baru ini mendedahkan 18 pemain skuad Piala Presiden negeri dan seorang jurulatih terlibat dengan gejala rasuah musim lepas.
Kesemua 18 pemain tersebut terdiri daripada enam pemain dari pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan, pasukan T-Team (enam) dan pasukan MP Muar (enam). - Bernama