Beliau menegaskan mahu memberi tumpuan kepada kerjaya dan mengharapkan segala kontroversi negatif tidak timbul lagi selepas ini kerana mahu lebih tenang dan selamat.
“Saya ingin memberi komitmen sepenuhnya kepada kerjaya dengan harapan karier sebagai pemain bola sepak ini akan lebih berkembang.
“Selain itu, saya juga perlu fokus pada bidang perniagaan dan berharga ia akan lebih maju dengan sokongan tidak berbelah bagi daripada para peminat,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Logo Kelab Peminat Fahmi Che Mat Malaysia (KPKFM) di KB Mall di sini, hari ini.
Khairul Fahmi atau Apex ketika diminta mengulas berhubung insiden simbah cat di pejabatnya di Jalan Sri Cemerlang di sini, pada Februari lalu, penjaga gol kebangsaan itu menjelaskan, beliau menganggap perkara itu sudah selesai.
Katanya, selepas laporan polis yang dibuat, perkara tersebut diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Alhamdulillah, selepas kejadian itu, tidak ada lagi insiden sama berulang. Sememangnya saya mengharapkannya keadaan ini, bukan sahaja sekarang malah juga pada masa-masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Apex memeriahkan lebih 100 peminatnya pada hari pertama program tiga hari KPKFM, hari ini.
Menurutnya, kelab tersebut ditubuhkan bertujuan memberi peluang seluruh lapisan peminat untuk lebih mengenali dan beramah mesra bersama penjaga gol terbaik Asia itu secara lebih dekat.
“Ini tanda penghargaan saya kepada mereka yang sudah banyak memberi sokongan sehingga saya boleh berada di sini sekarang.
“Saya tidak menetapkan sasaran seberapa banyak ahli yang mendaftar. Perkara paling penting ialah, kelab ini akan terus bergerak aktif menyediakan pelbagai program dari semasa ke semasa dan bukan hanya ditubuhkan untuk suka-suka sahaja,” katanya.
Apex sebelum ini pernah berdepan beberapa gosip liar termasuk dikatakan menjadi punca seorang pemilik butik, Nur Eilinie Natasha Nazri, 21, atau 'Leuniey' memutuskan ikatan pertunangannya dengan anak seorang usahawan batik di negeri ini.
No comments:
Post a Comment