Saturday, 31 March 2012

Keputusan Liga Super

Wartawan Sinar Harian
31 Mac 2012
BERIKUT keputusan perlawanan bola sepak Liga Super yang berlangsung malam ini:
  
    Terengganu        0     Johor FC         0
  
    Lions XII         2     T-Team           1
  
    Sabah             1     Selangor         1
  
    PKNS Selangor     1     Sarawak          4
  
    Kelantan          5     Felda United     1   

Penyokong Red Warriors bantah langkah FAM

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
31 Mac 2012
Penyokong Red Warriors bantah langkah FAM
KOTA BHARU - Episod kemarahan penyokong The Red Warriors terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semakin meningkat, apabila lebih 500 penyokong mereka mengadakan perhimpunan secara aman di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, petang ini.

Perhimpunan tersebut sebagai membantah tindakan badan induk bola sepak kebangsaan itu, yang dilaporkan bakal menggantung Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa ekoran kritikan beliau terhadap prestasi skuad kebangsaan baru-baru ini.

Annuar juga Timbalan Presiden FAM.

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu, Mohd Zainy Mohd Zain menyifatkan terdapat 'tangan-tangan ghaib' yang mahu menyingkirkan Annuar daripada terus memegang jawatan dalam badan induk bola sepak kebangsaan itu.

"Lebih menyulitkan keadaan apabila Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah) sendiri bertitah dengan mengatakan kesalahan yang dilakukan oleh Annuar itu amat besar.
"Tindakan ini dilihat mendahului keputusan jawatankuasa disiplin yang hanya akan bersidang pada Rabu ini," katanya.

Nasib Annuar hanya diketahui apabila Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan oleh Datuk Taufik Abdul Razak bersidang Rabu ini bagi mendengar pertuduhan yang dikemukakan ke atas beliau.

Annuar sebelum ini berkata beliau akan menerima apa saja keputusan yang bakal dibuat oleh FAM.

Pas akan terus guna kempen 'undi, syurga'

MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
30 Mac 2012
Nik Aziz Nik Mat
KOTA BHARU - Pas tetap dengan pendiriannya meneruskan kempen menegakkan syiar Islam dengan menekankan soal syurga apabila seseorang itu melahirkan sokongan kepada parti itu semasa pilihan raya, kata Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Berang dengan dakwaan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Nik Aziz berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu mempelajari agama terdahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Tiap-tiap orang yang bercakap soal Islam dia akan sebut soal syurga dan neraka, dia (Datuk Abd Rahman) kena ingat, bercakap ini ada soal pahala dan dosa, jangan cakap sembarangan,” kata beliau ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di Dataran Ilmu pagi ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Abd Rahman ketika Wacana Sinar Harian ke-12 kelmarin, yang mendakwa Pas melakukan rasuah politik paling tinggi dengan menjanjikan syurga kepada pengundi.
Abdul Rahman berkata, pembangkang menuduh BN rasuah, namun mereka sendiri terlupa turut melakukan perkara sama pada setiap pilihan raya.
Nik Aziz berkata, Nabi Muhammad SAW sebagai contoh pemimpin yang sentiasa mengingatkan umatnya mengenai hal dosa dan pahala yang membawa manusia itu ke syurga atau neraka.
Dalam pada itu, Nik Aziz melahirkan rasa gembira dengan tindakan Kerajaan Pusat yang membantu dalam membangunkan Pelabuhan Tok Bali di Pasir Puteh yang dilancarkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V semalam.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau meminta projek itu dibangunkan sejak pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, namun bekas Perdana Menteri itu memberikan pelbagai alasan tidak munasabah.
Melalui projek itu katanya, beliau mengharapkan Kelantan terkenal di peringkat antarabangsa dengan menjadi persinggahan kapal-kapal dagang dari negara-negara Timur.
“Insya-Allah selepas ini kita akan mendapat persinggahan kapal-kapal dari negara Arab dan negara jiran Asia seperti China dan Kemboja.
“Kita bukan sahaja nak eksport barang kita sahaja, tetapi kita nak eksport perangai sekali, jangan menipu, berbohong dan caj keting, insya-Allah, ia jadi buah mulut, kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.

Peminat: FAM harus terbuka terima kritikan

NORASHIKIN LEMAN & NOOR HAFIZA ABDULLAH
30 Mac 2012
FAM
SHAH ALAM - Isu Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, yang bakal menghadap Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu, nyata mendapat sokongan moral peminat-peminatnya.
Ini berikutan hasil tinjauan Sinar Harian Online melalui facebook hari ini, rata-rata penyokong bola sepak bersetuju dengan kenyataan Annuar mengenai prestasi skuad Kebangsaan, yang dilihat semakin terumbang-ambing, terutamanya dalam misi mempertahankan Piala Suzuki AFF tahun lalu.
Peminat bola sepak merasakan kenyataan Annuar itu hanya satu kritikan membina di mana perubahan harus dilakukan dalam arena bola sepak negara, terutamantya dalam pengurusan badan induk itu sendiri.
Seorang peminat yang bernama Rosdan Shafein menganggap sifat kurang bijak hanya akan memakan diri dan merugikan bola sepak negara secara keseluruhannya.
Seorang lagi peminatnya yang bernama, Azhar Hamzah berkata, jika kritikan akan membawa kebaikan kepada industri bola sepak negara, maka pihak yang dikritik harus menerima kritikan dengan positif.
"Sebarang kritikan dan pendapat mestilah lahir dari hasil pemikiran yang profesional dan bukanya emosi yang keterlaluan," katanya.
Annuar sudah bersedia untuk menerima apa sahaja keputusan yang akan diputuskn oleh FAM nanti.
Bagaimanapun mereka berharap diberikan keadilan secara saksama.
Beliau juga tidak mahu menjangkakan bentuk hukuman yang bakal dikenakan terhadapnya kerana ingin mengelakkan persepsi lain dan akan menghormati apa sahaja keputusan yang dikeluarkan nanti.
Semalam, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah bertitah, Annuar telah melakukan satu kesalahan besar dan akan berdepan dengan Jawatankuasa Tatatertib pada 4 April depan untuk mengetahui keputusan kesnya itu.
Dalam pada itu, baginda turut bertitah, tindakan Annuar itu merupakan sesuatu langkah yang tidak wajar dan akhirnya memakan diri sendiri kerana  seharusnya beliau lebih mengetahui peraturan itu semasa mesyuarat Exco baru-baru ini, yang telah diberitahu oleh Tengku Abdullah supaya jangan lantang memberi keterangan kepada media.
Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bakal berdepan dua pertuduhan iaitu melanggar Artikel 88 di bawah Perlembagaan FAM di mana memberi kenyataan media tanpa kebenaran Presiden dan Setiausaha Agung serta memberi kenyataan bercanggah serta mempertikai keputusan Eksekutif FAM.

Laman web FAM digodam susulan isu Annuar

NORASHIKIN LEMAN
30 Mac 2012
fam godam
fam godam
SHAH ALAM - Laman web Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) digodam hari ini, dipercayai tengah hari tadi - sehari selepas Presidennya Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa timbalan baginda, Tan Sri Annuar Musa telah melakukan "kesalahan besar" dan akan berhadapan dengan hukuman berat bulan depan.
Penggodam yang hanya menggelar mereka "Mesej dari rakyat_marhein" antara lain meninggalkan beberapa foto dan karikatur yang menggambarkan seolah-olah FAM mengawal dan cuba menutup mulut pegawai-pegawai kanannya daripada membuat kenyataan media.
Selain itu, penggodam juga mesej meminta FAM dirombak semula dan mahu presidennya meletakkan jawatan.
Serangan penggodam ini bukan kali pertama ke atas laman web FAM. Ia pernah digodam beberapa kali ketika FAM dan sukan bola sepak negara berhadapan dengan kontroversi.
Antaranya, FAM telah digodam Oktober lalu berikutan isu kenaikan harga tiket perlawanan Piala Malaysia.
Semalam, Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa Annuar telah melakukan satu kesalahan besar dan akan berdepan dengan Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 4 April ini untuk mengetahui keputusan mengenai kesnya itu.
“Dia (Annuar) perlu berdepan dengan Jawatankuasa Disiplin kerana apa yang dilakukan itu kesalahan besar. Bila sudah buat satu tindakan tidak bijak yang menyalahi undang-undang, dia kena berhadapan dengan tindakan itu,” titah baginda.
Dalam pada itu baginda bertitah, tindakan Annuar itu merupakan sesuatu langkah tidak wajar dan akhirnya memakan diri sendiri.
Baru-baru ini Annuar, bekas menteri Kabinet Persekutuan, melahirkan keraguan terhadap kemampuan Malaysia mempertahankan Piala Suzuki AFF November ini ekoran aksi goyah sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun pada satu majlis di Shah Alam baru-baru ini, Annuar berkata, kenyataan beliau disalah tafsir pihak media kerana beliau hanya mengkritik pasukan kebangsaan, tidak merujuk kepada mana-mana individu termasuk Datuk K Rajagobal.
Antara pertuduhan ke atas Annuar ialah melanggar Statut FAM dengan membuat kenya­taan akhbar, di mana hanya Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pe-ngurusan Pasukan Kebangsaan FAM saja boleh beri komen mengenai skuad kebangsaan.
Dalam pada itu, sekitar jam 5 petang tadi, foto dan karikatur telah dikeluarkan, sebaliknya hanya tinggal susulan indeks segmen-segmen laman web.

Friday, 30 March 2012

Laman web FAM digodam

NORASHIKIN LEMAN
30 Mac 2012
fam godam
fam godam
SHAH ALAM - Laman web Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) digodam, dipercayai tengah hari ini - sehari selepas Presidennya Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa timbalan baginda, Tan Sri Annuar Musa telah melakukan "kesalahan besar" dan akan berhadapan dengan hukuman berat..
Penggodam yang hanya menggelar "Mesej dari rakyat_marhein" antara lain meninggalkan foto dan karikatur yang menggambarkan seolah-olah FAM menutup mulut pegawai-pegawai kanannya.

AKAN MENYUSUL

Annuar Musa sedia terima hukuman FAM jika bersalah

29 Mac 2012
FAM
KOTA BAHRU - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau bersedia menerima apa sahaja hukuman yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib jika benar dirinya dianggap bersalah oleh badan induk itu.
Namun katanya, pada masa yang sama, FAM perlu realistik dalam menjatuhkan hukuman itu kerana jika silap, hukuman berkenaan akan dilihat sesetengah pihak sebagai satu "salah pentafsiran" yang akan memburukkan lagi keadaan.
"Apa yang saya khuatir akan berlaku salah tafsir dan jika berlaku salah tafsir akan berlaku ketidakadilan... ini perlu penelitian lebih lanjut (jika berlaku perkara itu) dan kongres perlu buat penambahbaikan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau juga tidak mahu menjangkakan apa bentuk hukuman yang bakal diputuskan nanti kerana khuatir ia akan menimbulkan persepsi lain dan semua pihak perlu menghormati apa sahaja keputusan jawatankuasa itu.
Annuar berkata, beliau akan membawa seseorang yang arif dalam bidang undang-undang ketika menghadap jawatankuasa berkenaan bagi membantunya menjawab segala pertuduhan yang dikenakan gara-gara secara terbuka mengkritik prestasi skuad kebangsaan di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal sebelum ini.
Katanya, FAM perlu melihat daripada sudut mana kesalahan itu dijatuhkan kerana pada masa itu beliau hanya menjawab soalan wartawan mengenai persembahan pasukan negara.

"Ketika itu Presiden dan timbalan tidak ada dalam negara dan saya pada waktu itu mewakili FAM yang jika saya tidak menjawab soalan mudah dari rakan wartawan ketika itu adalah tidak baik untuk persatuan dan saya boleh dihukum jika tidak menjawabnya pula seolah-olah saya tidak bersedia dan tidak bertanggungjawab," katanya.
Dalam pada itu, Presiden FAM,  Sultan Ahmad Shah berkata, Annuar dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin badan induk bola sepak negara pada 4 April ini kerana didakwa secara terbuka mengkritik prestasi skuad kebangsaan di bawah kendalian Rajagobal di media.

Baginda bertitah, Annuar perlu berdepan dengan jawatankuasa itu kerana tindakannya ternyata melanggar peraturan badan induk bola sepak negara kerana apa yang dilakukannya merupakan satu kesalahan yang amat besar.

"Bila kita buat satu benda yang bodoh, yang menyalahi undang-undang, kita kena berhadapan dengan tindakan itu," katanya di Kuantan.
Sultan Ahmad Shah bertitah, Annuar sepatutnya lebih arif mengenai peraturan yang telah ditetapkan FAM kerana Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu telah menyatakan bahawa hal FAM tidak wajar disebar kepada media tetapi patut dibawa berbincang dengan jawatankuasa berkenaan.
Baginda bertitah,  Annuar sepatutnya lebih tahu mengenai peraturan itu kerana ketika mesyuarat Exco baru-baru ini telah diberitahu oleh Tengku Abdullah supaya jangan lantang memberi keterangan kepada media tanpa kebenaran FAM.

Antara pertuduhan ke atas Annuar ialah melanggar Statut FAM dengan membuat kenyataan akhbar, di mana hanya Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM saja boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan.

Annuar juga dituduh melanggar titah Timbalan Presiden FAM ketika mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu iaitu hal-hal FAM tidak wajar disebar kepada media dan sepatutnya dibawa berbincang dengan jawatankuasa tersebut.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar digantung tiga tahun pada 1991 dan Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil dua kali digantung iaitu pada 2001 (empat tahun) dan 2006 (setahun) kerana mengkritik FAM. - Bernama
 

Tuesday, 27 March 2012

2 negeri Pantai Timur, Kedah dan Sime ke separuh akhir

Wartawan Sinar Harian
27 Mac 2012
Piala FA
SHAH ALAM - Terengganu dan Kedah berjaya melangkah ke separuh akhir persaingan Piala FA 2012.

Turut berjaya ke separuh akhir Kelantan dan Sime Darby.

Dalam perlawanan yang berlangsung malam ini, Kedah mengatasi T-Team 2-1 manakala Terengganu dan Lions XIII terikat tanpa jaringan.

Pada pusingan pertama, Terengganu mengatasi 1-0 di padang sendiri.

Dalam pada itu, Kelantan menjaringkan dua gol mengatasi SPA FC. Kelantan menang dengan aggregat 5-0.

Sementara itu, Johor FC tewas 1-2 di tangan Sime Darby.

Sime Darby menang dengan agregat 3-5.


KEPUTUSAN PENUH:

Lions XIII (0) - (0) Terengganu.
 (Terengganu
mara ke separuh akhir dengan agregat 1-0)

Johor FC (1) - (2) Sime Darby
(Sime Darby mara ke separuh akhir dengan agregat 5-3)


Kelantan (2) - (0) SPA FC
(
Kelantan mara ke separuh akhir dengan agregat 5-0)

T Team (1) - (2) Kedah.
(Kedah mara ke separuh akhir dengan agregat 2-1)

SEPARUH AKHIR:
Terengganu lawan Sime Darby

Kelantan lawan Kedah

Monday, 26 March 2012

Piala FA: Penyu, Kijang selesa

Wartawan Sinar Harian
25 Mac 2012
Piala FA
Rembatan Joseph Kalang Tie luar kotak penalti pada minit ke-66 memberi sedikit bekalan selesa menjelang perlawanan kedua kepada juara musim lalu, Terengganu apabila menewaskan Lions XII, 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Turun sebagai pasukan pilihan, anak buah Mat Zan Mat Aris nyaris merobek jaringan pelawat seawal minit pertama menerusi Francis Forkey Doe namun digagalkan pertahanan lawan.

Anak buah V Sundramoorthy cuba bangkit memberi tentangan pada separuh masa kedua, namun keampuhan benteng pertahan Sang Penyu menjadi penghalang kepada jentera penyudah Lions XII.

Pada minit ke-54, pelawat menerima tamparan apabila Kapten Lions XII, Hariss Harun menerima kad merah setelah mengasari Forkey Doe di kawasan penalti pelawat.

Sementara itu, naib juara musim lalu, Kelantan tidak menghadapi masalah apabila menewaskan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) FC 3 - 0, di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dua jaringan dari Mohd Norfarhan pada separuh masa kedua dan gol kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi menjelang penghujung separuh masa pertama memberi bekalan selesa buat Kelantan menjelang pertemuan kedua.

Aksi di utara tanah air pula, anak buah Wan Jamak Wan Hasan terpaksa akur kehebatan anak buah Yunus Alif apabila diikat 0-0 di Stadium Darulaman, malam tadi seterusnya memberi keselesaan kepada T-Team menjelang suku akhir kedua 27 Mac ini.

Fernando Alonso juara F1 Malaysia

25 Mac 2012
formula one
FERNANDO Alonso dari pasukan Scuderia Ferrari mencatatkan kemenangan dramatik dalam Grand Prix Petronas Malaysia 2012 apabila menafikan Sergio Perez dari pasukan Sauber F1 Team untuk merangkul kemenangan pertama Formula One di Litar Sepang, hari ini.
Pemandu dari Sepanyol itu mencatatkan dua jam, 44 minit dan 51.812 saat untuk mendahului Sergio Perez dari Mexico dengan hanya perbezaan 2.263 saat.
Sementara Lewis Hamilton dari pasukan Vodafone McLaren Mercedes yang memulakan perlumbaan di petak pertama, menduduki tempat ketiga sepertimana pada
musim pembukaan perlumbaan di Melbourne hujung minggu lepas dengan 2:45:06.403s.
"Kami tidak kompetitif di Australia atau di sini. Matlamat kami ialah mendapatkan sebanyak mata yang boleh dan kami berjaya melakukannya.
"Satu keputusan di luar jangkaan, kerja cemerlang daripada pasukan. Kami telah memaksimumkan potensi yanga ada, kekal tenang dalam beberapa keadaan tidak
diingini pada permulaan dengan gangguan dan perlu menukar tayar," kata Alonso.
Perlumbaan bermula dalam hujan lebat dan dihentikan selama 51 minit selepas lapan pusingan namun Alonso nyata cemerlang mengemudikan jentera yang sebelum
ini gagal mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam pusingan kelayakan dan pusingan musim pembukaan.
"Pasukan wajar dipuji bagi kemenangan ini. Ini merupakan waktu sukar bagi kami pada ketika ini, tetapi Ahad ini akan terpahat dalam ingatan kami untuk selamanya," kata juara dunia dua kali itu.
Kemenangannya hari ini merupakan gelaran keduanya dalam Grand Prix Malaysia dan pencapaian hebat dalam 28 tahun kariernya. Beliau memenangi Grand Prix Malaysia pada 2007 dengan pasukan McLaren Mercedes.
Alonso juga kini menjadi pendahulu kejohanan dunia ini dengan 35 mata, lima mata di hadapan Hamilton.
Sementara itu, Perez, 22, yang nyata hampir merealisasikan impian mencatatkan kemenangan pertamanya, namun peluang itu dinafikan apabila beliau
dipintas pada pusingan 50.
Bagaimanapun, beliau berjaya mencatatkan kemenangan podium pertamanya dan gembira dengan prestasi keretanya.
"Pasukan telah melakukan kerja dengan cemerlang dan saya berjaya mengejarnya pusingan demi pusingan. Saya mengekori Fernando (Alonso) pada akhir perlumbaan.
"Saya memberikan ruang agak luas pada sebelah kiri dan saya tersentuh bebendul jalan...saya gagal menang. Bagaimanapun, saya gembira kerana prestasi kereta terus bertambah baik. Pasukan ini memang hebat," kata Perez.
Pemenang musim pembukaan Jenson Button tidak memenangi sebarang mata pada perlumbaan hari ini selepas berlanggar dengan Narain Karthikeyan dari pasukan
HRT F1 Team dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-14.
Sementara pemandu pasukan Lotus F1 Team dan juara dunia 2007, Kimi Raikkonen mencatatkan masa pusingan terpantas dengan 1:40.722s pada pusingan 53. - Bernama

Wednesday, 21 March 2012

Ronaldo berminat terajui CBF

Wartawan Sinar Harian
21 Mac 2012
Ronaldo
BEKAS bintang bola sepak, Ronaldo, yang juga anggota jawatankuasa penganjuran Piala Dunia 2014 berminat untuk menjadi Presiden Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF).

Ronaldo menyatakan hasrat itu selepas ditemu bual akhbar harian Folha de Sao Paulo, baru-baru ini.

“Saya berminat memulakan karier politik saya dalam bola sepak. Presiden CBF? Ya, tapi saya tidak tahu adakah saya sesuai memegang jawatan itu.

“Segalanya terpulang kepada CBF sama ada menerima saya atau sebaliknya,” katanya.

Awal bulan ini, Ricardo Teixeira, yang mengetuai CBF sejak 1989, mengundur diri serta meletakkan jawatannya sebagai pengerusi jawatankuasa penganjuran Piala Dunia 2014.

Peletakan jawatan selepas 22 tahun mengetuai CBF itu, dikaitkan dengan kontroversi mengenai dakwaan penyelewengan wang badan bola sepak kebangsaan itu, di Brazil dan di luar negara.

Friday, 16 March 2012

Misi benam Perak di Ipoh

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
15 Mac 2012
KOTA BHARU - Pendahulu Liga Super, The Red Warriors menggalas misi sukar apabila bertemu Perak dalam aksi pertemuan sengit yang berlangsung di Stadium Ipoh malam lusa.

Ini diakui sendiri Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi yang menyifatkan pertemuan negeri berjiran itu pasti menjanjikan aksi yang menarik memandangkan kedua-dua pasukan menyasarkan misi yang sama iaitu mahu mencipta kemenangan.

“Saya akui tugas berat menanti Kelantan apabila bertemu Perak di Ipoh. Tetapi kita tidak tidak boleh kalah dan perlu saya jelaskan misi Kelantan bertandang ke Ipoh ialah mahu mencatatkan kemenangan pada pertemuan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

“Dua musim (seri 0-0 pada 2010 dan tewas 0-4 pada musim lalu) yang sukar bagi Kelantan setiap kali beraksi di Ipoh. Jadi apakah kita mahu kecewa lagi? Saya tidak fikir kita mahu menerima nasib yang sama sekali lagi.

“Tiga mata amat penting bagi kita kerana empat pasukan iaitu Terengganu, Lions XII, T-Team dan Perak kian menghambat kita. Saya tidak rela tampuk pendahulu liga bertukar tangan kepada pasukan lain setelah kita menerajuinya sejak 20 Januari lalu,” katanya.

Pemain berusia 30 tahun itu walau bagaimanapun memberi peringatan kepada rakan sepasukannya tidak memandang mudah pertemuan ini memandangkan pasukan Seladang ibarat harimau terluka dan sudah pasti memburu kemenangan moral setelah tewas kepada Terengganu pada pusingan kedua kempen Piala FA baru-baru ini.

“Sudah pasti mereka mahu bangkit mencipta kemenangan lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang sendiri. Kita kena akui Perak merupakan pasukan yang kuat pada musim ini. Malah percaturan taktikal jurulatih mereka (Norizan Bakar) kadang kala sukar diramal.

“Kita jangan lupa mereka ada Michal Kubala, Akmal Rizal (Ahmad Rakhli), Shahrulnizam (Mustapa) dan Mohd Shafiq (Jamal) yang boleh memusnahkan impian kita. Jadi semua kita perlu berwaspada dengan pergerakan pemain ini,” katanya.

Mengulas ketiadaan penggempur berbisa, Norshahrul Idlan Talaha yang pasti diketepikan kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut, pemain yang terkenal dengan panggilan Piya itu tidak menganggap itu masalah besar bagi Kelantan.

“Sebaliknya ini merupakan peluang terbaik kepada pemain import, Onyekachi Nwoha membuktikan kemampuannya. Dia perlu menjaringkan gol dalam pertemuan ini sebagai motivasi kepada dirinya sendiri.

“Tetapi saya percaya pemain tempatan lain seperti Indra Putra (Mahayuddin), Mohd Norfarhan (Muhammad) juga boleh memainkan peranan yang sama merobek pintu gol Perak malam esok,” katanya.

AFC beri kebenaran Kijang bermain di Kelantan

INTAN ATHIRAH REBUWANG
15 Mac 2012
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)
KELANTAN kini dapat menarik nafas lega apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan perlawanan Kelantan menentang Arema Indonesia pada 4 April depan, akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, perlawanan hanya akan diadakan dengan syarat Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) melengkapkan beberapa kemudahan iaitu bilik doping, bilik kesihatan, lampu limpah, kemudahan Internet untuk media dan beberapa perkara lain.

“Perkara ini kita telah sampaikan kepada PSK dan langkah-langkah sewajarnya sedang dilaksanakan mereka.

“AFC memberi tempoh sehingga 18 Mac ini untuk melaporkan setiap persiapan ditetapkan dan sekiranya memuaskan, perlawanan pada April depan dan 8 Mei menentang pasukan Myanmar, Ayeyawady United boleh berlangsung pada sebelah malam di Kelantan,” katanya.

Sebelum ini, perlawanan pertama The Red Warriors menentang Navibank Saigon terpaksa ditukar ke Stadium Nasional Bukit Jalil gara-gara kegagalan stadium di Kota Bharu yang masih dalam proses penambahbaikan.

Sunday, 11 March 2012

Chong Wei di final, buru hat trick All England

Wartawan Sinar Harian
10 Mac 2012
lee chong wei
KUALA LUMPUR - Perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Seluruh England untuk memenangi gelaran buat tahun ketiga berturut-turut.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Birmingham sebentar tadi, juara bertahan ini menewaskan Lee Hyun Il, dari Korea Selatan, 21-19 dan 21-18 dalam masa 44 minit.
Di perlawanan akhir, Chong Wei akan bertemu sama ada Lin Dan ataupun Kenichi Tago.
Tahun lalu, Chong Wei mengetepikan musuh ketatnya Lin Dan dari China untuk mempertahankan kejuaraan. Ketika itu dia mengambil masa 52 minit untuk menundukkan Lin Dan dengan 21-17, 21-17.
Bagaimanapun, kempen beregu campuran utama negara, Goh Liu Ying/Chan Peng Soon untuk mara ke final berakhir apabila tunduk kepada gandingan Indonesia,
Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir.
Beregu Malaysia itu memberi tentangan hebat kepada beregu nombor empat dunia dari Indonesia itu pada set pertama separuh akhir dengan 25-27  dan terpaksa
terpaksa akur dengan kehebatan pihak lawan pada set kedua 16-21.
Tontowi/Liliyana akan bertemu dengan beregu campuran dari Denmark, Thomas Laybourn/Kamilla Rytter Juhl, pada peringkat akhir kejohanan berprestij itu di National Indoor Arena, Birmingham, malam esok.

Piala FA: Terengganu, Kelantan mara

10 Mac 2012
JUARA bertahan Terengganu meneruskan reputasi sebagai pasukan pilihan saingan kempen Piala FA musim ini dengan menewaskan juara 1990, Perak 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.
Gol jaringan Mohd Ashaari Shamsuddin pada minit terakhir separuh masa pertama sudah cukup membolehkan naib juara Piala Malaysia musim lalu itu mara ke suku akhir.
Juara dua kali pada 2000 dan 2011 itu bagaimanapun berhadapan laluan getir pada suku akhir selepas dijadualkan bertemu dengan pendatang baru, Lions XII yang mengalahkan NS Betaria, 2-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Jiran mereka, Kelantan yang juga naib juara Piala FA, turut layak setelah mencatatkan kemenangan tipis, 3-2 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhamad ke-IV, Kota Bharu.
Tiga gol skuad Kijang dijaringkan oleh Mohd Norfarhan Muhammad pada minit ke-30, Indra Putra Mahayuddin (minit ke-43) dan kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi (minit ke-65).
Dua gol Kuala Lumpur dijaringkan oleh Muhd Afiq Azmi pada minit ke-39 dan Fazuan Abdullah pada minit-minit akhir permainan.
Kelantan akan bertemu dengan SPA FC pada perlawanan suku akhir selepas pasukan kelab dari Lembah Klang itu mengalahkan kelab dari Kemboja Preach Khan Reach FC, 1-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Mengikuti jejak langkah dua pasukan dari Pantai Timur itu ialah Kedah yang turut mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas jiran mereka, Perlis di Stadium Darul Aman.
Tiga gol skuad Kenari dijaringkan oleh Mohd Khyril Muhymeen pada minit ketujuh dan 37 serta Amar Rohidan pada minit ke-24 manakala dua gol pasukan pelawat dihasilkan oleh Mohd Rizal Ghazali pada minit ke-21 dan pemain import dari Sierra Leon, Henry Lewis pada minit ke-66.
Skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu akan bertemu dengan pasukan kelab dari Terengganu, T-Team yang menumpaskan Pahang 3-2 di Stadium Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.
Sementara itu, hajat juara lima kali Piala FA, Selangor untuk melangkah ke peringkat suku akhir tidak kesampaian apabila mereka kalah 4-5 kepada Johor FC menerusi sepakan penalti selepas terikat 2-2 dalam masa penuh perlawanan.
Dua gol Selangor dijaringkan oleh Azidan Sarudin pada minit ke-30 dan Mohd Asrarudin Putra Omar pada minit ke-55 manakala dua gol Johor FC dihasilkan oleh Ahmad Fauzi Saari pada minit ke-58 dan penyerang import dari Brazil Arthur Henrique Bernhardt pada minit ke-64.
Peringkat suku akhir Piala FA yang menggunakan format timbal balik akan berlangsung pada 24 dan 27 Mac ini.

Saturday, 3 March 2012

Apex mahu fokus karier, niaga


Khairul Fahmi Che Mat
KOTA BHARU - Penjaga gawang nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat yang dipalit pelbagai kontroversi sebelum ini, menjelaskan beliau hanya mahu fokus terhadap karier bola sepak berbanding gosip liar berkait dirinya.

Beliau menegaskan mahu memberi tumpuan kepada kerjaya dan mengharapkan segala kontroversi negatif tidak timbul lagi selepas ini kerana mahu lebih tenang dan selamat.

“Saya ingin memberi komitmen sepenuhnya kepada kerjaya dengan harapan karier sebagai pemain bola sepak ini akan lebih berkembang.

“Selain itu, saya juga perlu fokus pada bidang perniagaan dan berharga ia akan lebih maju dengan sokongan tidak berbelah bagi daripada para peminat,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Logo Kelab Peminat Fahmi Che Mat Malaysia (KPKFM) di KB Mall di sini, hari ini.

Khairul Fahmi atau Apex ketika diminta mengulas berhubung insiden simbah cat di pejabatnya di Jalan Sri Cemerlang di sini, pada Februari lalu, penjaga gol kebangsaan itu menjelaskan, beliau menganggap perkara itu sudah selesai.

Katanya, selepas laporan polis yang dibuat, perkara tersebut diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Alhamdulillah, selepas kejadian itu, tidak ada lagi insiden sama berulang. Sememangnya saya mengharapkannya keadaan ini, bukan sahaja sekarang malah juga pada masa-masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Apex memeriahkan lebih 100 peminatnya pada hari pertama program tiga hari KPKFM, hari ini.

Menurutnya, kelab tersebut ditubuhkan bertujuan memberi peluang seluruh lapisan peminat untuk lebih mengenali dan beramah mesra bersama penjaga gol terbaik Asia itu secara lebih dekat.

“Ini tanda penghargaan saya kepada mereka yang sudah banyak memberi sokongan sehingga saya boleh berada di sini sekarang.

“Saya tidak menetapkan sasaran seberapa banyak ahli yang mendaftar. Perkara paling penting ialah, kelab ini akan terus bergerak aktif menyediakan pelbagai program dari semasa ke semasa dan bukan hanya ditubuhkan untuk suka-suka sahaja,” katanya.

Apex sebelum ini pernah berdepan beberapa gosip liar termasuk dikatakan menjadi punca seorang pemilik butik, Nur Eilinie Natasha Nazri, 21, atau 'Leuniey' memutuskan ikatan pertunangannya dengan anak seorang usahawan batik di negeri ini.

Thursday, 1 March 2012

LTdL 2012: Peringkat ke-7 (Bentong-Kuantan)

Wartawan Sinar Harian
1 Mac 2012
le tour de langkawi 2012
BERIKUT ialah perkembangan semasa kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 yang masuk peringkat tujuh hari ini melibatkan jarak 205.8 kilometer (km) dari Bentong, Pahang hingga Kuantan, Pahang.

10.47 pagi: Peloton berjaya menagkap kembali tujuk pelumba yang cuma membuat breakaway.

10.45 pagi: Tujuh pelumba cuba melakukan breakaway pada kilometer ke 33.

10.34 pagi: Para pelumba telah mengharungi 25.8km, purata kelajuan 51.6km / jam.

10.29 pagi: Selepas 25km, semua pelumba masih dalam kepompok besar walaupun ada beberapa pelumba cuba membuat pecahan tapi mereka ditangkap semula peloton.

10.11 pagi: Selepas 10km, tiada pemecahan dilakukan. Pelumba masih lagi dalam peloton.

10.09 pagi: Para pelumba telah memasuki bandar Karak.

9.51 pagi: Perlumbaan akan bermula ikut jadual iaitu tepat jam 10am

9.43 pagi: Jarak pelumbaan adalah sejauh 205.8km

9.34 pagi: Konvoi cavalcade telah dilepaskan

9.31 pagi: Perlumbaan peringkat ke-7 bermula dari Bentong dan tamat di Kuantan.