Tuesday, 7 February 2012

Usah beri laluan mudah dua aksi akan datang: Razali

SITI ZUBAIDAH MAT ISA
7 Februari 2012
malaysia bahrain wan zack haikal
USAHA perlu ditingkatkan bagi memastikan mutu dan pencapaian bola sepak negara tidak terhenti, walaupun skuad Harimau Muda sudah tersingkir daripada saingan kelayakan Sukan Olimpik, London 2012.

Baki dua perlawanan akan datang, Timbalan Menteri, Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim, tidak mahu skuad Harimau Muda mensia-siakan perlawanan menentang Jepun pada 22 Februari dan Syria 14 Mac.

“Tewas atau tersingkir tidak bermakna pasukan negara perlu abaikan dua baki perlawanan dan perlu diingat, tiada istilah beri laluan mudah buat dua negara itu.

“Jadikan perlawanan itu sebagai medan membuktikan kemampuan. Paling penting, hadapi perlawanan dengan kesungguhan,” katanya yang tidak mahu, pasukan negara menganggap baki dua perlawanan seperti perlawanan persahabatan.

Lewat malam kelmarin, pasukan kendalian Ong Kim Swee tewas pada aksi peringkat kumpulan C, kali keempat berturut-turut, sekali gus melenyapkan hajat untuk beraksi di kejohanan berprestij itu.

Razali, bagaimanapun tidak menafikan kekecewaan dalam kalangan penonton terutamanya yang berharap skuad negara mampu bangkit membuat kejutan pada perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Manama.

“Paling penting kekecewaan dalam kalangan peminat tidak dapat disembunyikan. Apa juga keputusannya saya mahu penyokong bola sepak negara terus memberi sokongan kepada skuad bola sepak negara.

“Selepas kekalahan semalam (kelmarin), paling penting skuad bola sepak perlu cari apa kekurangan dan baiki setiap kelemahan,”katanya kepada Sinar Harian, semalam.

No comments: