Wednesday, 1 February 2012

Belum ada kata putus: KLFA

NORASHIKIN LEMAN
1 Februari 2012
Emmanuel Ayaah Okine (Ghana) dan Zacharia Yehya Charara (Lubnan)
MASIH belum ada sebarang keputusan muktamad berhubung pinjaman dua pemain import Kelantan, Emmanuel Ayaah Okine (Ghana) dan Zacharia Yehya Charara (Lubnan) ke pasukan Liga Super Kuala Lumpur (KL) dalam masa terdekat ini.

Pengurus KL, Rusli Baba mengakui mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), dalam pertemuan ketika perlawanan Sabtu lalu berkata, kata putus mengenai pinjaman pemain import yang beraksi dalam Kejohanan Piala Konfederasi Asia (AFC) itu masih lagi belum diterima.

“Memang sebelum ini Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dan Pafa bersetuju dengan pinjaman tersebut. Pihak Kafa sendiri berjanji menghantar kedua-dua pemain itu Rabu lalu untuk sesi ujian.

“Namun begitu, sehingga kini masih tiada sebarang jawapan dari pihak Kafa,” katanya.

Meskipun melihat proses pinjaman tersebut sesuatu yang menguntungkan terutama apabila KLFA kini kekurangan modal untuk mendapatkan pemain melalui ejen, Rusli bagaimanapun tidak dapat menunggu lama kerana bimbang terlepas peluang mendapat khidmat awang import berikutan tarikh tutup pendaftaran pemain import adalah pada 13 Februari.

Dalam perkembangan lain, jurulatih skuad Warga Kota, Razip Ismail tidak mempunyai masalah sekiranya benar pinjaman dua pemain Kelantan itu diteruskan.

“Kita memang amat memerlukan pemain import terutama di bahagian tengah untuk membantu memantapkan pasukan,” katanya.

Semalam, The Red Warriors menandatangani kontrak dengan bekas pemain pertahanan kebangsaan Nigeria, Obinna Nwaneiri sebagai pemain import bagi terus mengukuhkan kedudu­kan pasukan itu di persada Liga Super musim ini.

No comments: